Anda di sini

PERKESO denda 41 majikan pada 2013

Advertisement

OPS KESAN: Dundang (tiga kiri) mengetuai Ops Kesan di sebuah premis di Sibu.

Atas kesalahan lewat lapor kemalangan, kelewatan syarikat daftar dengan PERKESO

SIBU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sibu mengambil tindakan mendenda 41 majikan sepanjang tahun lalu kerana gagal mematuhi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Pengurus Cawangannya Dundang Undong berkata kesalahan tersebut adalah kelewatan membuat laporan kemalangan, kelewatan syarikat mendaftar dengan PERKESO semasa Ops Kesan dilancarkan.

Hasil daripada kompaun tersebut, pihaknya berjaya mengumpul denda sebanyak RM11,000 manakala selebihnya masih dalam proses rayuan.

“Daripada 41 kes, 10 daripadanya kini dalam proses difailkan ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

“Lima daripada kes berkenaan adalah kelewatan membuat laporan kemalangan manakala selebihnya kelewatan mendaftar dengan PERKESO,” katanya ketika ditemui di sini.

Beliau menjelaskan, di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, pesalah boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada Ops Kesan tahun lalu, pegawai penguat kuasa dari Sibu, Sarikei dan Kapit dibahagikan dalam kumpulan dengan melakukan pemeriksaan ke pusat-pusat beli-belah, kedai-kedai makan dan premis pejabat.

Sementara itu, Dundang mendedahkan bahawa pihaknya akan melancarkan beberapa siri program bermula April depan.

Jelasnya, program tersebut mendapat penyertaan pemimpin masyarakat dan diadakan sekitar rumah panjang.

Oleh itu, beliau berharap mereka di sekitar rumah panjang mengambil bahagian dalam program yang dianjurkan.

Pada 2012, pihaknya telah menganjurkan program sehingga ke Selangau.

“Pelbagai maklumat disebarkan kepada penduduk rumah panjang untuk membantu mereka mengenali lebih lanjut PERKESO dan faedahnya,” kata beliau.

Dundang juga meminta orang ramai menghubungi 084-213066/213067 untuk maklumat lanjut.

Advertisement