Anda di sini

Penerima BR1M puas hati dengan pengagihan melalui akaun bank

Advertisement

CUKUP EFISIEN: Suasana di mesin ATM di sebuah bank di bandar raya Kuching.

KUCHING: Majoriti penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berpuas hati dengan kaedah pengagihan melalui akaun bank kerana dilihat lebih mudah dan senang.

Tinjauan Utusan Borneo di beberapa bank di sekitar bandar raya ini semalam mendapati kebanyakan mesin ATM di beberapa bank sesak dengan penerima BR1M yang mahu mengeluarkan wang itu.

Menurut Siti Jenawi Musti, 48, dari Kampung Matang dekat sini, pengagihan melalui akaun mudah dan cepat berbanding kaedah pengagihan sebelum ini iaitu melalui baucar.

“Saya bersyukur kepada kerajaan kerana menepati janji dengan memberi bantuan BR1M ini untuk meringankan beban rakyat berpendapatan rendah.

“Saya berharap pemberian ini dapat diteruskan dan kaedah pengagihannya dikekalkan atau ditambah baik supaya golongan berpendapatan rendah di negara ini terus dijaga,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Dia memberitahu, penerima boleh mengambil wang bantuan itu bila-bila masa sahaja berbanding kaedah yang digunakan sebelum ini.

Siti Jenawi menambah, tambahan kepada jumlah bantuan itu iaitu sebanyak RM650 berbanding RM500 sebelum ini juga disambut baik.

“Tidak ada orang yang hendak memberi kita wang sebanyak ini setiap tahun, jadi saya amat bersyukur dengan pemberian ini,” katanya.

Seorang lagi penerima BR1M, Shafinah Sopiee, 26, dari Kampung Baru Kota Samarahan berkata, sistem pengagihan wang bantuan itu mudah dan selamat.

“Sekarang ia terus masuk ke dalam akaun bank… mudah dan selamat berbanding cara pengagihan sebelum ini penerima terpaksa memeriksa nama dan beratur untuk mengambilnya.

“Walaupun hanya RM300 (untuk golongan bujang) tetapi ia dapat meringankan sedikit beban untuk perbelanjaan pada waktu kesempitan,” jelasnya.

Justeru, dia berharap penerima BR1M dapat menggunakan wang itu sebaik mungkin.

Sementara itu, seorang blogger tempatan, Mohd Ridduan Wahab, 26, juga menyambut baik sistem pengagihan melalui akaun bank.

“Kalau sebelum ini penerima termasuk saya terpaksa berbaris panjang berjam-jam menunggu untuk mengambil baucar tetapi sekarang mudah hanya pergi ke mesin ATM sahaja,” katanya.

Namun, dia mencadangkan agar penambahbaikan dilakukan kerana penerima BR1M terpaksa pergi ke mesin ATM untuk mengetahui sama ada wang bantuan itu sudah masuk ke akaun atau belum.

“Saya cadangkan agar kerajaan menggunakan khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) untuk memaklumkan kepada penerima bila mereka akan menerima wang bantuan ini.

“Ini kerana kebanyakan orang kampung terpaksa pergi ke mesin ATM untuk mengetahui wang mereka sudah masuk atau belum dan memaksa mereka berulang-alik dari bank,” ujarnya.

Advertisement