Anda di sini

Pelaksanaan program pembangunan perlu penglibatan aktif masyarakat

Advertisement

MANFAATKAN: Henry menyampaikan bantuan mesin jahit kepada salah seorang penerima sambil disaksikan Hussaini (kiri) dan Mat Salleh di Lawas.

LAWAS:  Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan melipatgandakan usaha berterusan untuk merangka pelbagai program pembangunan bagi membantu golongan susah selain menarik penglibatan mereka dalam aktiviti ekonomi.

Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong berkata pelaksanaan program pembangunan memerlukan penglibatan aktif golongan terbabit agar mereka mempunyai keazaman untuk mengubah kehidupan masing-masing.

Jelasnya, kerajaan amat prihatin menyediakan pelbagai bantuan memberi manfaat dan dapat digunakan sebaiknya dalam meningkatkan pendapatan mereka khususnya seisi keluarga.

“Kerajaan sentiasa prihatin dan kami sentiasa mahu melihat rakyat di luar bandar berjaya dalam pelbagai sektor yang dapat menjana ekonomi keluarga masing-masing untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Selain mendapatkan projek mega seperti lapangan terbang, hospital dan lain-lain, kami juga tidak lupa menggandakan program membantu golongan miskin mempunyai keazaman untuk mengubah nasib keluarga melalui pelbagai penglibatan dalam sektor ekonomi,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Peralatan Usahawan Kecil dan Sederhana di bawah program Majlis Pembangunan Pertanian Persekutuan (MPPP) Parlimen Lawas di sini.

Hadir sama Pegawai Daerah Lawas Hussaini Hakim, Pegawai Tadbir Daerah Kecil Sundar Ladin Atok, Jurutera JKR Lawas Norman Jan, Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Lawas Othman Adol dan jemputan lain.

Dalam pada itu, Henry mahu masyarakat luar bandar bersedia menerima cabaran dalam dunia tanpa sempadan ini dengan meningkatkan usaha mempelbagaikan penglibatan dalam sektor ekonomi yang diceburi.

“Pada masa sama, rakyat hendaklah sentiasa mendekatkan diri dengan kerajaan dan pelbagai agensi yang banyak menyediakan program membantu golongan sasar di peringkat akar umbi,” jelasnya.

Pada majlis itu, Henry menyerahkan geran kerajaan kepada 30 persatuan bukan kerajaan, kelab, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung serta pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru daerah Lawas dan pertubuhan-pertubuhan lain.

Advertisement