Anda di sini

Mini RTC jadi pusat jualan barangan pertanian: Shafie

Advertisement

KULAIJAYA: Kesemua 213 Mini RTC (Pusat Transformasi Luar Bandar) yang terdapat di seluruh negara akan turut dijadikan sebagai pusat penjualan barang-barang pertanian luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, usaha menjadikan Mini RTC itu sebagai pusat penjualan barang pertanian itu merupakan inisiatif kementerian membantu usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Ini adalah kerana, barang-barang pertanian termasuk ikan yang dijual di Mini-Mini RTC seluruh negara adalah jauh lebih murah berbanding tempat-tempat lain,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada majlis prapelancaran RTC Johor di sini, semalam.

Beliau memberi contoh bagaimana sekilogram cili di Mini RTC Kelantan boleh didapati pada harga di antara RM6 dan RM7, berbanding di tempat lain di antara RM11 dan RM12 sekilogram.

Menurut Mohd Shafie, berikutan harga-harga pertanian yang ditawarkan di Mini-Mini RTC adalah jauh lebih murah daripada pasaran terbuka, sambutan yang diterima daripada masyarakat setempat adalah amat menggalakkan.

“Sambutan daripada masyarakat adalah amat baik kerana kita menawarkan harga yang berpatutan,” katanya.

Mini RTC merupakan Medan Info Desa yang dinaik taraf pada tahun lepas untuk menyampaikan maklumat dan perkhidmatan setempat kepada masyarakat luar bandar.

Mengenai RTC Johor pula, Mohd Shafie berkata, ia akan dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak lama lagi pada tarikh yang akan ditentukan oleh pejabat beliau.

Semenjak Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dilancarkan pada 2012, enam RTC telah dibuka di Perak, Kelantan, Melaka, Pahang, Johor dan Kedah, katanya.

RTC Terengganu dan Pulau Pinang juga akan dibuka tahun ini, katanya.

Beliau berkata kementeriannya juga menerima permintaan untuk membuka RTC di Sabah dan Sarawak. — Bernama

Advertisement