Anda di sini

MDLBS dapat peruntukan naik taraf infrastruktur

Advertisement

SIBU: Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan tahun ini bagi menaik taraf infrastruktur di sekitar kawasan seliaannya dalam tiga kawasan Parlimen.

Pengerusinya Kaunselor James Laju Ambok berkata tahun ini beliau menjangkakan lebih banyak kawasan pinggir bandar akan dibangunkan dari segi infrastruktur.

Katanya MDLBS terus membantu agensi kerajaan negeri mengenal pasti dan membangunkan kawasan pinggir bandar bagi memastikan rakyat kawasan terbabit tidak ketinggalan daripada arus pembangunan.

Ini sejajar dengan usaha kerajaan membawa lebih banyak kemajuan dan menyediakan pembangunan sama rata dengan tidak mengetepikan kawasan pinggir bandar.

“Dana ini dibahagikan mengikut keperluan rakyat di tiga kawasan Parlimen seliaan MDLBS iaitu Sibu, Lanang dan Selangau.

“Begitupun, hanya kawasan yang benar-benar memerlukan akan diberikan keutamaan.

“Lagipun selepas dana ini dibahagi ia bukan satu angka yang besar bagi memenuhi tuntutan masyarakat,” katanya ketika ditemui ketika menghadiri Majlis Kesyukuran di sini baru-baru ini.

Hadir sama beberapa ahli majlis MDLBS lain termasuk Kaunselor Pasang Ngalambai, Kaunselor Jawi Anom dan Kaunselor Jimbau Galau.

Menurut James, masyarakat juga harus memahami peranan MDLBS sebagai salah satu pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama dalam pengagihan projek.

Jelas beliau, pihak majlis hanya membangunkan projek-projek kecil dan menaik tarafnya.

“MDLBS hanya membantu kementerian berkaitan dalam menyediakan infrastruktur yang mana nilainya menelan kos kecil sahaja.

“Namun, sehingga kini masih ramai masyarakat yang masih kurang jelas dengan peranan MDLBS,” katanya sambil mengharap komitmen tinggi kalangan ahli majlis.

Ahli majlis juga dinasihati agar berkhidmat dengan penuh dedikasi tanpa memilih bulu dan mengharapkan balasan.

Advertisement