Anda di sini

MDA sentiasa berusaha perkasa keupayaan ahlinya

Advertisement

SUMBANGAN: Dr Jerip menyerahkan cek daripada MDA kepada wakil PERKATA semasa Kongres Pergigian Borneo Ke-4 di Kuching, kelmarin. Turut kelihatan Zulkifli, Neoh, Leong dan Nurshaline. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA) sentiasa berusaha memperkasa keupayaan ahlinya melalui pelbagai aktiviti dan program secara berterusan.

Presidennya Dr Neoh Gim Bok berkata, pelbagai persidangan, seminar serta simposium pergigian diadakan bagi memastikan tahap pengetahuan ahli-ahli MDA terus dipertingkatkan.

Katanya sememangnya kualiti program pembangunan profesional berterusan (continuous professional development atau CPD) MDA amat tinggi sehingga diperakui oleh Kementerian Kesihatan Malaysia serta Majlis Pergigian Negara Singapura dan Kementerian Kesihatan Singapura.

“Pada 29 Mei hingga 1 Jun akan datang, kami akan menganjurkan Persidangan dan Pameran Pergigian Malaysia-Antarabangsa (MIDEC 2014) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

“Persidangan turut menampilkan pakar-pakar antarabangsa seperti dari Australia, London, Jerman, United Kingdom, Hong Kong, Taiwan dan India,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kongres Pergigian Borneo Ke-4 di Hotel Pullman di sini, kelmarin.

Sementara itu, Pengerusi MDA Zon Timur Dr Leong Kei Joe dalam ucapannya memberitahu, kongres tersebut diadakan sebagai landasan kepada doktor gigi daripada sektor awam dan swasta khasnya di Sabah dan Sarawak meningkatkan lagi pengetahuan dan ilmu mereka.

Menurutnya, pelbagai topik merangkumi Endodontics, Implantologi Pergigian, Ortodontik, Pergigian Estetik sehinggalah kepada topik asas seperti penyakit berjangkit dan kawalan jangkitan turut dikongsi dalam program itu.

“Adalah penting dalam kerjaya seperti kita untuk mengumpul mata CPD.

“Oleh itu, saya ingin mengambil peluang ini untuk anda (ahli MDA) bahawa perwakilan yang menghadiri kongres ini layak untuk memberi mata CPD kepada kita di bawah CPD kategori A2.

“Ini bermakna ia memperluaskan lagi peluang kita dalam mendapat mata CPD daripada kategori berbeza,” jelasnya.

Bercerita mengenai kongres tersebut, ia merupakan kongres keempat anjuran MDA Zon Timur selepas diadakan di Kota Kinabalu pada tahun lalu.

Selain ceramah, kongres dua hari bermula semalam itu turut menyediakan pameran daripada lebih 20 agensi yang menawarkan produk, kelengkapan dan alatan terbaharu digunakan dalam bidang pergigian.

Hadir merasmikan kongres tersebut ialah Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil.

Turut hadir ialah Pengarah Kesihatan Negeri Datu Dr Zulkifli Jantan.

Advertisement