Anda di sini

MCA lulus resolusi EGM, terima jawatan kerajaan

Advertisement

Buka laluan kepada parti untuk kembali ke kabinetKUALA LUMPUR: Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA semalam meluluskan resolusi untuk menerima jawatan kerajaan di semua peringkat, yang membuka laluan bagi parti itu kembali semula ke kabinet.

Keputusan itu memang sudah dijangka dengan hampir semua 1,982 anggota perwakilan pusat, yang menghadiri mesyuarat itu di Wisma MCA, mengundi dengan cara mengangkat tangan.

Daripada jumlah itu, hanya lima orang yang membantah usul itu manakala empat lagi enggan mengundi.

Sebelum itu, Datuk Yip Phooi Hong yang mempengerusikan mesyuarat itu, menawarkan pilihan kepada anggota perwakilan sama ada mengundi secara mengangkat tangan atau mengguna kertas undi.

Pada perhimpunan agung 2011, MCA telah meluluskan resolusi untuk tidak menerima sebarang jawatan kerajaan jika ia gagal dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Resolusi itu diperakukan semula dalam perhimpunan agung MCA pada 2012 dan EGM parti pada 20 Okt tahun lepas.

Dalam pilihan raya umum 5 Mei 2013, MCA menampilkan prestasi terburuknya selepas hanya memenangi tujuh kerusi Parlimen dan 11 kerusi negeri daripada 37 kerusi Parlimen dan 90 kerusi negeri yang ditandinginya.

Sejak mengambil alih pucuk pimpinan MCA pada 21 Dis tahun lepas, Datuk Seri Liow Tiong Lai berulang kali menyatakan bahawa ketiadaan MCA dalam kerajaan sejak sembilan bulan lepas telah menjejaskan usahanya untuk memberi khidmat dengan berkesan kepada rakyat terutamanya berkaitan isu-isu pendidikan dan Kampung Baharu Cina.

Bercakap kepada wartawan sejurus berakhirnya EGM itu, Liow berkata keputusan itu jelas membuktikan para perwakilan mahu MCA terus bersuara mewakili masyarakat Cina di Kabinet bagi menyelesaikan pelbagai masalah mereka.

Katanya keputusan itu juga mencerminkan sokongan dan mandat perwakilan terhadap kepimpinan baharu parti.

Ditanya sama ada MCA akan meminta untuk dikekalkan dengan empat jawatan menteri dan enam jawatan timbalan menteri dalam Kabinet seperti sebelumnya, Liow berkata keputusan itu terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kami bukannya tergesa-gesa mahu menyertai Kabinet kerana kami baru sahaja memperoleh mandat (untuk menyertai semula Kabinet). Sekarang, kami mahu memberi tumpuan kepada pilihan raya kecil (kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang), isu masyarakat Cina dan isu  ekonomi,” katanya.

Walaupun enggan menerima sebarang pelantikan jawatan sebelum ini, Najib  semasa membentuk Kabinet beliau pada 15 Mei 2013 telah memperuntukkan MCA dengan portfolio Menteri Pengangkutan, yang kini dipangku oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Menteri Pertahanan.

Sementara itu, anggota perwakilan pusat yang juga bekas naib presiden parti Gan Ping Sieu memberitahu pemberita bahawa beliau enggan mengundi kerana tidak bersetuju dengan pengundian secara mengangkat tangan berbanding kertas undi yang lebih teratur.

Beliau telah mencadangkan undian secara rahsia tetapi tidak dipersetujui kebanyakan anggota perwakilan.

Seorang lagi yang enggan mengundi untuk resolusi itu ialah Naib Presiden Datuk Chua Tee Yong yang berpendapat EGM kali ini tidak menghormati keputusan EGM pada Oktober 2013.

Diminta mengulas insiden itu, Liow berkata walaupun diberi pilihan, majoriti anggota perwakilan telah memilih untuk mengundi secara mengangkat tangan dan hanya 409 memilih untuk mengundi secara rahsia. — Bernama

Advertisement