Anda di sini

Malaysia capai status ‘negara tua’ pada 2030

Advertisement

KAD AHLI: Fatimah menyampaikan kad ahli kepada Rajaiee pada Majlis Perhimpunan Ahli PAWE di Dalat semalam. Turut kelihatan Yussibnosh (tiga kanan), Hendi (kiri) serta yang lain.

Mengikut unjuran yang dibuat, dijangka 15 peratus penduduk negara ini warga emas

MUKAH: Berasaskan unjuran yang dibuat, Malaysia dijangka mencapai status ‘negara tua’ pada 2030 apabila 15 peratus penduduk merupakan warga emas.

Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah, berkata berdasarkan bancian penduduk dan perumahan 2010 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Sarawak merupakan negeri yang keempat tertinggi di Malaysia mempunyai bilangan warga emas iaitu seramai 211,181 orang (8.5 peratus) selepas Selangor (334,289 orang), Perak (280,118) dan Johor (278,028).

“Kini golongan warga emas iaitu mereka yang berumur 60 tahun ke atas adalah seramai 2.2 juta orang iaitu 7.9  peratus daripada 28.3 juta penduduk Malaysia,” katanya pada Majlis Perhimpunan Ahli Persatuan Aktiviti Warga Emas (PAWE) Daerah Dalat di Dewan Masyarakat Dalat di sini kelmarin.

Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, sehingga 31 Januari lalu bahagian Miri mencatat jumlah penyertaan ahli warga emas teramai iaitu 13,603 orang, diikuti PAWE Dalat-Mukah (439), PAWE Kuching (107), PAWE Lingga-Sri Aman (113), PAWE Nangka-Sibu (55), PAWE Tatau-Bintulu (40) dan PAWE Beladin-Betong (15).

Sementara itu, Fatimah menyarankan agar PAWE Dalat dan di Malaysia amnya dapat mengekalkan kesihatan dari segi fizikal, mental pada umur 60 atau 70 tahun.

Negara Jepun merupakan salah satu contoh negara tua, warga emasnya sihat, produktif, sangat mengambil berat tentang kesihatan serta penampilan diri dan sangat aktif dalam aktiviti kesukarelaan.

“Dasar warga emas negara untuk meningkatkan keberkesanan penjagaan dan perlindungan kepada golongan warga emas supaya mereka dapat meneruskan kehidupan lebih bermakna dan sejahtera dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif dan produktif dan menyokong meningkatkan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara,” katanya.

Pada majlis tersebut, beliau yang memperuntukkan sejumlah RM30,000 kepada ahli Jawatankuasa Warga emas Dalat, turut mengumumkan bantuan kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak iaitu Geran Penyelenggaraan Tahunan iaitu masing-masing RM33,330 kepada PAWE Kuching, Lingga, Sri Aman, Beladin, Betong, Sibu, Tatau, Bintulu, Miri sementara Dalat, Mukah sejumlah RM43,330 (tambahan geran negeri RM10,000 setahun).

Turut hadir Pengerusi PAWE Dalat Rajaiee Jana, Pegawai Daerah Dalat Yussibnosh Balo, Temenggung Mukah Hendi Suhai, Ketua-ketua masyarakat, ketua-ketua kaum dan warga emas Dalat, Mukah.

Advertisement