Anda di sini

Luangkan masa bersama anak-anak

Advertisement

TAHNIAH: Naroden (tiga kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang guru pengiring semasa Program Khemah Kerja Kelab 1Malaysia Peringkat Negeri Sarawak Siri 1/2014 di Kuching, semalam.

Ibu bapa perlu sedar pendidikan formal sahaja tidak jamin masa depan

KUCHING: Ibu bapa perlu sedar bahawa pendidikan formal sahaja tidak akan menjamin masa depan anak-anak mereka, kata Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais.

Oleh itu katanya, walau sesibuk manapun ibu bapa, mereka haruslah meluangkan masa untuk bersama anak-anak.

“Sebagaimana dinyatakan oleh Perdana Menteri dalam perutusan Hari Antidadah 2014, rakyat Malaysia disaran untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga, memberi perhatian kepada perasaan dan kehendak anak-anak serta sentiasa berkomunikasi agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan gejala negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Khemah Kerja Kelab 1Malaysia Peringkat Negeri Sarawak Siri 1/2014 di Kompleks Yayasan Sarawak di sini, semalam.

Tambah Naroden, kesan gejala sosial jika tidak dibendung bukan sahaja memberi kesan kepada remaja pada hari ini tetapi juga memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Sebagai contoh, gejala penyalahgunaan dadah. Menurut kajian Universiti Utara Malaysia, pada tahun 2009 sahaja kerajaan telah menanggung kos langsung dan tidak langsung sebanyak RM8.65 bilion.

“Sekiranya kos tersebut digunakan untuk membina sekolah menengah yang berkapasiti 1,200 pelajar, kerajaan sebenarnya berupaya menyediakan 216 sekolah dan memberi faedah kepada 259,200 pelajar di negara ini termasuk Sarawak.

“Atas sebab itulah, saya ingin menyeru agar semua pihak khasnya ibu bapa memainkan peranan masing-masing agar masalah sosial melibatkan remaja tidak berlaku di negara yang kita cintai ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau mahu peserta program itu serta remaja keseluruhannya yang dikenali sebagai Generasi-Y meneruskan kegemilangan yang ditinggalkan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu.

“Ringkasnya, masa depan negara kita sebenarnya terletak di tangan anda (Generasi Y) semua.

“Atas sebab itulah, program seperti ini harus diperhebatkan lagi kerana dengan cara ini kita akan dapat mendidik seterusnya mendedahkan para peserta dengan perkara-perkara yang positif,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Naroden turut menyentuh mengenai isu-isu melibatkan remaja pada hari ini yang semakin membimbangkan seperti kes pembuangan bayi, merokok, merogol, membunuh dan banyak lagi.

“Terpapar di akhbar-akhbar tempatan beberapa hari lepas sekumpulan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sedang menjalani perbicaraan kerana membunuh pensyarah dan anaknya yang kurang upaya.

“Juga amat mengejutkan apabila seorang murid yang begitu muda mengirimkan sistem pesanan ringkas (SMS) kepada seorang guru dengan kata-kata kesat dan mengugut.

“Ini sudah tentu amat menyedihkan kerana remaja yang sepatutnya masih lagi berada di bangku sekolah sudah terlibat dengan gejala-gejala merosakkan diri mereka sendiri dan masyarakat secara keseluruhannya,” tambahnya.

Terdahulu beliau mengucapkan tahniah kepada penganjur atas inisiatif penganjuran program yang dilihat memberi manfaat bukan sahaja kepada peserta tetapi juga kepada masyarakat secara amnya.

Pada majlis itu Naroden turut menyampaikan sijil penyertaan kepada 111 peserta yang menyertai perkhemahan tiga hari bermula Jumaat lalu hingga semalam.

Turut hadir Timbalan Pengarah Penerangan Negeri Zaini Mohamad, wakil Pengarah Pendidikan Sarawak Kuswady Chil dan yang lain.

Advertisement