Anda di sini

Liow gesa anggota MCA bersatu untuk ubah parti

Advertisement

SOKONG: Liow (depan, kiri) dan Timbalannya Datuk Wee Ka Siong (dua, kiri) pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA sempena sambutan ulang tahun ke-65 parti itu di Wisma MCA di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Dr Seri Liow Tiong Lai semalam meminta semua anggota parti supaya bersatu padu dan menggabungkan kekuatan mereka untuk merubah parti menjadi lebih baik.

Ketika membuat gesaan itu pada sambutan ulang tahun ke-65 parti itu di Wisma MCA di sini, Liow berkata MCA yang tewas teruk dalam dua pilihan raya umum lepas, tidak harus membuang masa atau menunggu keadaan yang sesuai untuk berbuat demikian.

Sebaliknya, beliau berkata perpaduan adalah amat penting bagi membolehkan parti itu terus utuh dan tidak mengecewakan anggotanya serta masyarakat Cina.

“Kita tidak boleh terus bertelagah sesama sendiri. Apa yang kita perlu buat ialah gabungkan semua tenaga positif kita, berusaha dengan semangat bersatu padu dan menarik keluar MCA daripada kemelut ini,”katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa anggota MCA supaya mengekalkan disiplin parti dan sebarang perbezaan pendapat perlulah diselesaikan menerusi prosedur dalaman parti dan bukannya memilih untuk menjejaskan imej MCA.

Berdepan dengan cabaran selepas pilihan raya umum ke-13, Liow berkata MCA bersedia mengakui kesilapan dan mengkaji kelemahannya serta menangani sebab musabab ia ditolak pengundi.

“Muhasabah MCA ini sudah pastinya bukanlah amalan untuk menuding jari atau menjadi alasan untuk berputus asa. Malah, ia adalah satu titik permulaan bagi MCA untuk kembali cergas dan bergerak ke hadapan bagi menyahut cabaran-cabaran baharu.

“Kita hanya boleh berubah jika kita berani berdepan dengan cabaran,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Liow yang memenangi jawatan presiden dalam pemilihan parti Disember lepas, berkata anggota-anggota Jawatankuasa Pusat telah menghadiri satu kem sumbang saran bulan lepas bagi membincangkan Rangka Tindakan Transformasi MCA.

Beliau berkata pertemuan itu antara lain menghendaki pemimpin parti supaya terus mendengar pendapat akar umbi bagi melaksanakan tugas dengan lebih baik dan membenarkan semua pihak terlibat dalam Rangka Tindakan Transformasi itu, yang akan diterbitkan tidak lama lagi. — Bernama

Advertisement