Anda di sini

Laman sosial tidak seharusnya dijadikan medium hasutan

Advertisement

KUCHING: Laman sosial tidak seharusnya dijadikan medium hasutan bagi mempengaruhi orang ramai untuk mengutuk atau menyebar maklumat berbaur negatif.

Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, unsur negatif berbaur hasutan hanya akan mempengaruhi persepsi orang ramai terhadap pendekatan yang dilakukan kerajaan untuk kepentingan semua.

“Ruang sosial yang dikongsi bersama itu seharusnya dijadikan medium penyebaran maklumat yang berguna kepada masyarakat lain dan bukan disalah guna sekali gus mempengaruhi orang lain.

“Justeru, saya menyarankan masyarakat negeri ini khususnya agar menghargai medium sosial itu ke arah yang memanfaatkan seluruh masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penyebaran status berunsur negatif di laman sosial media Facebook berkenaan penutupan sebahagian jalan raya bagi memberi laluan kepada program Kayuhan Mesra Warisan dan  Hari Tanpa Kereta, di Esplanade Kuching, semalam.

Menurutnya, program yang melibatkan masyarakat seharusnya mendapat sokongan untuk manfaat bersama.

Selain itu, beliau juga memohon kerjasama peniaga-peniaga di sekitar Tebingan Kuching untuk memberi kerjasama dan tidak menganggap penutupan jalan bagi memberi laluan kepada program itu akan menjejaskan perniagaan mereka.

“Meskipun sebilangan peniaga mengadu penutupan jalan raya ini menjejaskan operasi perniagaan mereka, namun saya memohon untuk mendapat pertimbangan peniaga kerana penutupan jalan ini bukanlah untuk sepanjang hari,” katanya.

Kira-kira 2,000 pengayuh menyertai acara kayuhan basikal bermula dari Esplanade dan melalui laluan serta lokasi warisan bersejarah dan pelancongan menarik di sekitar bandar raya ini.

Acara Hari Tanpa Kereta itu merupakan usaha sama Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Kementerian Pelancongan Sarawak, Kelab Sukan Komuniti (KSK) Satok, Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Satok dan DBKU.

Ia menjadi sebahagian langkah proaktif kerajaan untuk mengurangkan kesan pencemaran udara yang disebabkan pembebasan asap kenderaan.

Acara itu akan dijadualkan diadakan sehari setiap bulan (hujung minggu) yang melibatkan penutupan beberapa jalan raya di sekitar bandar raya ini bermula jam 6 pagi hingga 11 pagi.

Hari pelancaran program itu turut menyaksikan penyerahan cek sumbangan kepada Persatuan Kanser Kanak-Kanak Sarawak (SCCS).

Hadir sama menyertai acara kayuhan mesra itu ialah Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof, Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengerusi KSK Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie dan Ketua PBB Cawangan Satok Iskandar Sharkawi.

Advertisement