Anda di sini

Kerjasama agensi negeri Selangor boleh atasi kes denggi

Advertisement

CEGAH DENGGI: Anggota Tentera Malaysia (ATM) dari Kem Sungai Besi turut membantu dalam program Gotong-Royong Cegah Denggi di Kampung Sri Jambu, dekat Kajang, semalam. — Gambar Bernama

KAJANG: Semua agensi-agensi kerajaan negeri Selangor diminta memberikan kerjasama penuh kepada Kementerian Kesihatan dalam usaha membendung pembiakan nyamuk aedes yang boleh menyebabkan demam denggi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata berikutan kurangnya kerjasama agensi berkenaan, sebanyak 60 peratus daripada kes demam denggi di negara ini dicatatkan di Selangor.

Dengan peningkatan kes demam denggi pada masa ini, beliau berkata pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri itu perlu bersama-sama kementerian menjalankan pelbagai aktiviti mencegah denggi demi kepentingan rakyat.

“Sebagai agensi bertanggungjawab terhadap pengurusan sisa pepejal dan kebersihan, piha berkuasa tempatan perlu memastikan tiada tempat yang membolehkan pembiakan nyamuk aedes.

“Semua kuasa di tangan mereka. Kalau mereka menggunakan kuasa itu secara optimum, banyak isu dapat diselesaikan. Tetapi kita di peringkat pusat pula kena mengambil alih perkara ini dan menjalankan tugas (mereka),” katanya dalam sidang media selepas melawat Hospital Kajang di sini.

Sebagai contoh, Dr Subramaniam berkata pihak berkuasa tempatan hanya mewakilkan pegawai yang tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan menghadiri mesyuarat penting di Kementerian Kesihatan.

“Kita mahu mereka hantar Yang Dipertua yang beliau boleh membuat keputusan untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Tetapi mereka hantar pegawai yang tidak boleh buat keputusan,” katanya.

Sejak Januari hingga 20 Feb tahun ini, sebanyak 13,915 kes demam denggi dilaporkan di negara ini termasuk 7,507 kes di Selangor.

Daripada 25 kematian akibat denggi, sebanyak 9 kes berlaku di Selangor. — Bernama

Advertisement