Anda di sini

Keluarga mangsa pembunuhan adakan upacara sembahyang

Advertisement

STEPHEN WONG

SIBU: Keluarga mangsa pembunuhan iaitu pengurus bank mendiang Stephen Wong mengadakan upacara sembahyang semalam sempena perbicaraan kes yang berlangsung hari ini.

Menurut kenyataan keluarga mendiang, mereka berharap keadilan terhadap kes pembunuhan mendiang yang dibunuh kejam di kediamannya di Jalan Hulu Sungai Merah pada 14 Jun 2012.

Mayat mangsa ditemui berlumuran darah di bilik utama di kediamannya.

Mangsa mati akibat kecederaan di bahagian leher serta kesan tikaman di dada dan perut selain beberapa kecederaan lain di anggota badannya.

Ketika kejadian, hanya isteri mangsa dan anak mereka yang berusia tiga tahun berada di rumah.

Isteri mangsa, Ling Hang Tsyr ditahan polis pada 11 Ogos 2012 untuk siasatan kes.

Teman lelakinya, Tiong King Guan dan suspek utama kes, Ling How Ing didakwa atas tuduhan pembunuhan pada 22 Ogos 2012.

“Kenapa hati manusia begitu kejam? Siapa yang memberi kuasa kepada kamu untuk mencabut nyawa orang lain?

“Setiap orang mesti menanggung kesalahan mereka sendiri,” kata keluarga mendiang.

Keluarga mendiang turut berharap ibu bapa Ling dapat memahami dan memulangkan cucunya kepada mereka.

Advertisement