Anda di sini

Kakitangan kesihatan UNIMAS beri khidmat kepada penduduk luar bandar

Advertisement

KUCHING: Seramai 70 kakitangan kesihatan daripada Fakulti Perubatan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) termasuk doktor pakar memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk Kampung Beradek, Kampung Tiang Api dan Kampung Semilang dekat sini kelmarin.

Program dikenali ‘Program Kesihatan Komuniti’ yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Beradek itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni dan turut dihadiri Profesor Madya Dr Raziyasham Safii yang juga ketua rombongan Fakulti Kesihatan UNIMAS, Pensyarah Fakulti Perubatan UNIMAS Profesor Tan Sri Datuk Dr Mohd Taha Ariff, Guru Besar Nasir Said dan Ketua Kaum Kampung Beradek Bolhassan Ibrahim.

Ia merupakan program anjuran bersama SK Beradek dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (IPBG) sekolah berkenaan serta Biro Pendidikan Islam Sarawak sempena Ulang Tahun Ke-20 UNIMAS.

Selain pemeriksaaan kesihatan percuma kepada penduduk setempat, program jati diri turut diadakan membabitkan 150 pelajar SK Beradek.

Dr Hazland dalam ucapannnya berkata program seumpama itu penting dan usaha kakitangan Fakulti Perubatan UNIMAS harus dicontohi komuniti lain lebih-lebih lagi syarikat korporat ke arah membentuk masyarakat sejahtera serta sihat.

“Program seperti jati diri melibatkan pelajar misalnya dapat meningkatkan kualiti pencapaian pelajar kerana saya percaya mereka akan diajar teknik pembelajaran yang betul dan sudah tentu mendapat motivasi untuk terus berusaha sehingga berjaya dalam akademik,” katanya.

Advertisement