Anda di sini

Jangan menjadikan SDNU landasan politik

Advertisement

AHLI BAHARU: Tengku (enam kiri) menerima borang keahlian baharu daripada Kelvin pada Majlis Sukaria anjuran SDNU Unit Sentosa I di Sibu, malam kelmarin.

SDNU bukan landasan politik walaupun terdapat segelintir ahlinya orang politik

SIBU: Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) bukan landasan politik walaupun terdapat segelintir ahlinya orang politik, kata Setiausaha Politik Ketua Menteri Tengku Gruna.

Menurutnya, sesebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan adalah bukan untuk berpolitik tetapi manfaat bersama merangkumi pembangunan serta menjadi wakil untuk menyuarakan sesuatu masalah berkaitan sesuatu komuniti.

“Justeru, jangan bawa ideologi politik ke dalam SDNU kerana dibimbangi akan memecahbelahkan kita akibat perbezaan pendapat.

“Kita sering diingatkan supaya tidak menggunakan SDNU untuk berpolitik dan diingatkan menggunakan SDNU bagi membangunkan dan memajukan bangsa Dayak.

“Tidak kira anda datang dari mana-mana parti politik dan tidak sehaluan dalam politik, tetapi kita mesti bersatu dan sehaluan dalam SDNU demi bangsa Dayak,” katanya pada Majlis Sukaria anjuran SDNU Unit Sentosa I di Kampung Sentosa, Jalan Salim di sini malam kelmarin.

Hadir sama Ketua SDNU Unit Sentosa I Kelvin Kieh, Ketua Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Kawasan Sentosa I Margaret Jara, bekas Ketua SDNU Unit Sentosa I Dr Johnny Kieh serta ahli-ahli exco SDNU Sibu lain.

Pada majlis itu, Tengku yang juga Pengerusi SDNU Sibu turut menerima borang keahlian baharu daripada 30 penduduk Kampung Sentosa Fasa I yang memohon menyertai SDNU Sibu.

SDNU Unit Sentosa I kini mempunyai seramai 60 ahli di bawah SDNU Sibu.

Sementara itu, Tengku berharap SDNU terus menyokong kerajaan bagi membolehkannya mendapat bantuan sewajarnya.

“Rapat dengan kerajaan dan menyokong kerajaan bukan bermaksud kita berpolitik, tetapi itu sebagai tanda kita menghargai pentadbiran kerajaan.

“SDNU masih memerlukan bimbingan dan bantuan daripada kerajaan untuk menggerakkan aktivitinya.

“Oleh itu, saya menasihati semua agar tidak tersisih dari kerajaan kerana kerajaan  mempunyai pelbagai rancangan pembangunan untuk komuniti menerusi SDNU pada masa akan datang,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berpendapat setiap unit di bawah SDNU Sibu sangat penting bagi menggerakkan cawangannya (Sibu) dalam menyatupadukan komuniti Dayak menerusi aktivitinya.

“Kita merupakan satu keluarga dalam SDNU meskipun berbeza dari segi latar belakang politik dan sebagainya.

“Walau macam mana sekalipun perbezaan, kita harus bersatu dalam kesatuan ini.

“SDNU mampu dijadikan sebagai penggerak kepada komuniti Dayak membangunkan diri dalam ekonomi, pendidikan, taraf hidup dan sebagainya. Justeru, manfaatkanlah persatuan ini,” katanya.

Advertisement