Anda di sini

JAKIM diminta lapor kepada SKMM untuk sekat blog ajaran sesat

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) disaran mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membolehkannya menyekat blog atau laman web yang menyebarkan fahaman songsang yang mengancam akidah umat Islam.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata SKMM akan bertindak menyekat akses ke sesuatu blog atau laman web yang didapati menyebar fahaman yang menyesatkan seperti ajaran Syiah dan golongan anti hadis dalam negara ini.

“Kita memerlukan kerjasama pihak berkuasa…Contohnya dalam bidang agama, kita ada Jakim dan untuk sesuatu isu yang boleh mengancam keselamatan negara, kita ada Kementerian Dalam Negeri.

“Kerajaan melalui SKMM sentiasa bekerjasama dengan polis dan agensi penguatkuasa lain di dalam dan luar negara dalam penguatkuasaan undang-undang penyalahgunaan media sosial di negara ini, termasuk yang boleh memecah-belahkan masyarakat dengan fahaman ajaran sesat ini seperti yang terbaharu, golongan anti hadis,” katanya.

Jailani bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan pakaian murid di Sekolah Menengah Kebangsaan Manir di sini semalam.

Mengulas lanjut beliau berkata kementerian melalui Jabatan Penerangan dan Jabatan Penyiaran akan memperhebat kempen kesedaran mengenai bahaya fahaman ini kepada orang ramai.

“Jangan kita biarkan fahaman ini menular dalam masyarakat, yang penting sekarang ialah semua pihak perlu bekerjasama untuk membanterasnya hingga ke akar umbi,” katanya. — Bernama

Advertisement