Anda di sini

Hindar bincang isu agama secara melampau: Bakri

Advertisement

Serahkan soal agama kepada pihak berkuasa agama

MUAR: Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin semalam mengingatkan semua pihak supaya menghindarkan diri daripada membincangkan isu-isu agama dan perkauman secara melampau kerana ia boleh menjejaskan keharmonian kaum.

Mohd Bakri berkata semua pihak diminta menyerahkan soal agama kepada pihak berkuasa agama bagi mengambil tindakan yang sewajarnya supaya keharmonian negara dapat dikekalkan.

“Kebanyakan negara menjadi porak-peranda berpunca daripada isu agama dan perkauman yang dibangkitkan oleh rakyatnya. Kita tidak mahu perkara seperti itu berlaku di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat sempena perhimpunan pesara Polis Diraja Malaysia dan majlis memperingati peristiwa serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu di laman sosial Facebook mengenai seorang wanita dari negeri pantai timur yang mempersoal kuasa Allah menerusi laman itu sejak seminggu lepas.

Turut hadir bekas Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar dan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff.

Ditanya sama ada pihak polis ada menerima sebarang laporan mengenai perkara itu, Mohd Bakri menegaskan pihaknya setakat ini belum menerima apa-apa aduan daripada mana-mana pihak berhubung wanita berkenaan yang kini dipercayai berada di luar negeri.

“Malaysia mempunyai agensi yang boleh menjalankan siasatan terhadap perkara-perkara yang berkaitan agama dan biarlah agensi berkenaan melaksanakannya, namun jika siasatan mendapati ia di bawah bidang kuasa polis, maka, kita akan melakukannya,” katanya.

Terdahulu, berucap pada majlis itu, Mohd Bakri berkata sambutan memperingati serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong perlu diadakan setiap tahun supaya dapat dijadikan peringatan kepada polis dan generasi muda mengenai sejarah pengorbanan pasukan keselamatan terhadap negara.

Beliau berkata sejumlah RM1.5 juta sudah dibelanjakan untuk kerja-kerja menambah baik balai polis berkenaan manakala sejumlah RM13.5 juta lagi akan dibelanjakan bagi membina kompleks bangunan tiga tingkat yang merangkumi galeri Muzium Bukit Kepong yang dijangka siap November tahun ini.

Sementara itu, Haniff menyifatkan tindakan pihak tertentu mempersoalkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Katanya beliau bimbang perbuatan seumpama itu akan menjadikan rakyat negara ini berpecah belah dan matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju akan terjejas sekiranya dibiarkan.

“Kalau tidak mempunyai pengetahuan mengenai agama Islam, mengapa mengeluarkan komen tentang Islam? Dahulu, kalau ulama mengeluarkan fatwa, bangsa lain tidak sentuh kerana itu adalah fatwa untuk orang Islam.

“Jadi, mengapa pula ada orang bukan Islam hendak komen tentang agama Islam,” katanya ketika ditemui pemberita.

Katanya ketika zaman beliau memimpin PDRM dahulu, rakyat tanpa mengira kaum bersatu hati berjuang menentang musuh dan mahu membangunkan negara ini sebagai sebuah negara yang aman makmur.

“Elakkan daripada apa yang berlaku di negara lain berlaku di negara ini.

Mereka (pihak tertentu) patut menyejukkannya dan bukannya memanaskan lagi keadaan,” katanya.

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua melalui laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini memuat naik satu kenyataan yang didakwa menyentuh larangan pihak berkuasa agama Islam di negara ini yang mengisytiharkan sambutan Hari Kekasih sebagai haram. — Bernama

Advertisement