Anda di sini

Belum ada permohonan G5 sertai semula SPDP

Advertisement

KUCHING: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) belum menerima sebarang permohonan daripada anggota Kumpulan Berlima (G5) untuk menyertai semula parti meskipun pintu telah dibuka kepada mereka.

Presidennya Tan Sri William Mawan Ikom berkata meskipun pintu telah dibuka kepada mereka namun ia tidak akan memberi makna apa-apa jika anggota G5 terus enggan berdamai dan menyertai semula parti.

Anggota G5 terdiri daripada empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Datuk Peter Nansian Ngusie, Datuk Sylvester Entri Muran, Paulus Palu Ngumbang dan Rosey Yunus serta seorang bekas Ahli Parlimen iaitu Datuk Dr Tiki Lafe.

“Setakat ini kami tidak ada menerima sebarang permohonan daripada mereka tetapi seperti yang saya kata tawaran berdamai ini adalah untuk memperkuatkan parti dan Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya.

“Jadi, adalah lebih baik jika kita tidak bercakap mengenai perkara yang lepas sebaliknya mengatur langkah ke hadapan dan melakukan apa sahaja yang terbaik untuk memperkuatkan lagi parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi SPDP di ibu pejabat parti itu di sini semalam.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Presidennya Datuk Seri Tiong King Sing.

Mengulas mengenai penggabungan antara SPDP dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Mawan berkata cadangan tersebut tidak akan berjaya jika mereka bertepuk sebelah tangan dan tiada usaha daripada SUPP.

“Jika tiada sebarang usaha daripada SUPP untuk bergabung bagaimana kami hendak bergabung? Anda tidak mungkin dapat bergabung jika bertepuk sebelah tangan,” katanya kepada media.

Jelas Mawan lagi, meskipun perkara ini turut disentuh pada mesyuarat semalam namun tiada sebarang keputusan dicapai mengenai idea penggabungan ini dan ia hanya sekadar satu idea yang belum pasti direalisasikan seperti penggabungan antara SPDP dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) sebelum ini.

“Kami bersedia untuk sebarang penyatuan yang dapat memperkukuhkan lagi BN dan tiada apa yang salah mengenai penggabungan ini.

“Bagaimanapun, apa jua yang melibatkan penggabungan ia harus dilakukan dalam bentuk yang formal,” jelas Mawan.

Advertisement