Anda di sini

2,705 warga emas Parlimen Bandar Kuching dan Stampin terima BR1M

Advertisement

TERIMA KASIH: (Dari kiri) Sa’abah, Halimah dan Fatimah menunjukkan baucar BR1M 3.0 yang diterima mereka semalam.

KUCHING: Lebih 2,000 warga emas yang merupakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mengukir senyuman tanda kesyukuran selepas menjadi golongan pertama menerima bantuan itu semasa Majlis Pelancaran Pengagihan BR1M 3.0 di sini semalam.

Pada majlis itu, seramai 2,705 warga emas dari kawasan Parlimen Bandar Kuching dan Stampin menerima baucar RM650 yang disampaikan oleh Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Siti Fatimah Mohamed, 71, dari Kampung Sungai Apong meluahkan rasa syukur kepada kerajaan kerana melanjutkan pemberian BR1M untuk meringankan beban rakyat khasnya golongan berpendapatan rendah.

“Syukur alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kerana sentiasa prihatin kepada rakyat seperti kami ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Dia memberitahu bahawa wang itu nanti akan digunakan untuk membeli barang keperluan dapur seperti beras, gula, kopi dan sebagainya.

“Esok (hari ini) saya akan ke bank untuk menunaikannya (baucar),” katanya.

Manakala Halimah Sabang, 87, dari Kampung Tabuan Hilir berkata, bantuan itu dapat meringankan sedikit bebannya.

“Syukur kami dipilih sebagai golongan pertama menerima baucar ini,” katanya sambil menambah ketiadaan akaun bank menyukarkannya.

Tambahnya, sekiranya ada akaun bank, dia pasti tidak perlu datang beratur dan menunggu giliran untuk mendapatkan baucar.

“Susah mahu berjalan jauh maklumlah dah tua, esok pergi pula ke bank untuk menunaikannya,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi warga emas, Sa’abah Kantok turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan kerana menunaikan janji dalam menjaga kebajikan golongan memerlukan.

“Saya ucapkan terima kasih dan berharap bantuan ini dapat diteruskan pada masa depan,” ujarnya.

Advertisement