Anda di sini

24 pemain wakili Sarawak ke kejohanan boling kebangsaan

Advertisement

TAHNIAH: Pemenang bersama Lim (sembilan kiri) pada Kejohanan Tenpin Boling MSS Sarawak 2014 di Sibu semalam.

SIBU: Seramai 24 pemain terbaik bagi enam kategori yang dipertandingkan bakal mewakili Sarawak ke Kejohanan Tenpin Boling Peringkat Kebangsaan dijadualkan bermula 24 hingga 28 Mac ini di Kuala Lumpur.

Pemain-pemain terbabit dipilih setelah menunjukkan kecemerlangan pada Kejohanan Tenpin Boling Majlis Sukan Sekolah-sekolah (MSS) Sarawak 2014 di Sibu kelmarin.

Christopher Tiong mewakili Bahagian Sibu dinobatkan juara kategori lelaki bawah 18 tahun.

Kejohanan berlangsung di Sibu Superbowl menyaksikan Tiong menewaskan pesaing sengitnya, Mohd Uzair Irsyad Noor Azrul dari Bahagian Kuching.

Eric Tiong juga mewakili Bahagian Sibu terpaksa akur setelah mendapat tempat ketiga bagi kategori lelaki bawah 18 tahun.

Bagi kategori wanita bawah 18 tahun, Nur Syafiqah Sajeli yang mewakili Bahagian Kuching diumumkan juara.

Diikuti wakil Bahagian Sibu masing-masing Agnes Lau di tempat kedua dan Nur Ameera Abdul Raxly di tempat ketiga.

Abner Loo yang juga mewakili Sibu dinobatkan juara kategori lelaki bawah 15 tahun, diikuti Abang Afiq Yazid Abang Azman dari Kuching di tempat kedua dan Alistair Ting dari Miri di tempat ketiga.

Bagi kategori wanita bawah 15 tahun, Nur Aina Kamalia Abdul Ayub yang mewakili Kuching muncul tempat pertama, diikuti Amanda Ting dari Sibu naib juara dan Gillian Lim dari Miri mendapat tempat ketiga.

Mohd Nur Syafiq Mohd Amran yang mewakili Kuching diumumkan juara kategori lelaki bawah 12 tahun, diikuti wakil Sibu masing- masing Kenny Goi Tze Shian di tempat kedua dan Kerry Goi menduduki tempat ketiga.

Bagi kategori wanita bawah 12 tahun, Rasya Aleeya Zainuddin mewakili Kuching dinobatkan juara, diikuti wakil Sibu masing-masing Rachell Lo Yee mendapat tempat kedua dan Tang Jing Suan di tempat ketiga.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh wakil Pegawai Pendidikan Daerah Sibu, Lim Chun Len.

Advertisement