KUCHING: Persekutuan Wushu Sarawak (WFS) mendapat lampu hijau dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) untuk melatih sukan tersebut di sekolah-sekolah negeri ini.
Setiausahanya, William Kong berkata jurulatih dari tujuh kelab gabungan persatuan itu bebas untuk melatih wushu yang akan dijadikan salah satu daripada subjek kokurikulum sekolah.
“Ahli kelab gabungan WFS adalah Kelab Wushu Serian, Kelab Wushu Sekama, Kelab Wushu Bandar Kuching, Kelab Wushu Saratok, Kelab Wushu Jelutong, Kelab Wushu Permai Timur, Kelab Wushu Sungai Merah dan Kelab Zhong Hua Wushu Piasau,” katanya.
Menurutnya, permohonan WFS bagi membenarkan gabungan terbarunya Kelab Wushu Satok melatih wushu juga telah diluluskan.
Pada bulan lalu, JPNS telah memperkenalkan peraturan baharu berkaitan kelas seni mempertahankan diri di sekolah-sekolah.
Peraturan tersebut memperuntukkan semua persatuan perlu mendaftar dan memohon kebenaran daripada JPNS untuk melatih sukan seni mempertahankan diri seperti taekwondo, karate dan wushu di sekolah-sekolah.
“JPNS telah meluluskan permohonan WFS pada pertengahan Januari lalu dan kita telah menghantar salinan kelulusan kepada semua kelab gabungan yang terlibat,” tambah Kong dan amat menyokong dan mengalu-alukan peraturan baharu itu.
Selain itu, kita juga berharap JPNS dapat bekerjasama dengan persatuan sukan yang rasmi dalam memilih dan memberi kebenaran kepada jurulatih berkelayakan memberi latihan di sekolah.
“Ini dapat membantu JPNS berhubung dengan mereka yang bertanggungjawab dalam mengendalikan sukan-sukan tersebut,” ujarnya.
Katanya, jurulatih yang terpilih telah disenarai tapis oleh ketua jurulatih atau pemeriksa berkelayakan yang diiktiraf oleh badan sukan kebangsaan.
“Sebagai contoh, Timbalan Presiden WFS James Ting yang juga pengamal wushu Duan kelapan adalah pemeriksa yang telah dilantik oleh Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) bagi Sarawak dan Sabah.
“Paling penting, pelajar yang menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih diiktiraf berpeluang menyertai kejohanan rasmi di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa,” katanya.
Pada masa sama, WFS merakamkan penghargaan kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak Datu Abdillah Adam dan pegawainya dalam membimbing dan membantu persatuan mengadakan latihan di kelas sekolah selain menganjurkan kejohanan di peringkat bahagian dan negeri.
WFS telah didaftarkan di pejabat Pesuruhjaya Sukan Sarawak pada Jun 2013 dan diiktiraf sebagai persatuan rasmi sukan wushu oleh JPNS, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dan WFM.