Anda di sini

Sarawak bakal miliki padang bola sepak rumput tiruan

Advertisement

PADANG TIRUAN: Kerja-kerja pemasangan padang rumput tiruan sedang giat dijalankan.

KUCHING: Sarawak boleh berbangga kerana bakal memiliki padang bola sepak rumput tiruan yang pertama terletak di Kompleks Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah di sini.

Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohammad Abu Bakar Marzuki berkata kerja-kerja pemasangan rumput tiruan itu telah memasuki fasa terakhir dan dijangka siap sepenuhnya bulan depan.

Katanya, kos pemasangan rumput tiruan bertaraf antarabangsa itu berjumlah RM800,000 dengan tempoh jaminan selama 10 tahun dan boleh digunakan dalam apa juga keadaan cuaca.

“Padang rumput tiruan ini akan memudahkan kita melaksanakan pelbagai program pembangunan bola sepak negeri,” katanya ditemui di sini semalam.

Selain itu, ia juga memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman bersukan dan beriadah di atas padang yang lebih berkualiti Menurut Abu Bakar, kekurangan padang bola sepak yang baik di Sarawak mendorong pihaknya menyediakan kemudahan itu.

“Banyak negeri telah menggunakan padang tiruan kerana penyelenggaraannya jauh lebih murah berbanding padang sebenar,” tambahnya.

Katanya, skuad bola sepak Sarawak juga boleh memohon menggunakan padang tersebut untuk menjalani latihan.

“Kita tidak ada halangan membenarkan mereka menjalani latihan dengan menggunakan padang itu, tetapi ia berdasarkan keperluan,” katanya.

Advertisement