Anda di sini

Program Radio Di Lokasi ‘Singgah Lok… SARAWAKfm’ di Kuching hari ini

Advertisement

KUCHING: SARAWAKfm mengadakan program Radio Di Lokasi ‘Singgah Lok…SARAWAKfm’ pada hari ini (22 Februari) di Esplanade Kuching yang diadakan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sempena ‘Car Free Day 2014’.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam, program itu merupakan salah satu aktiviti radio di lokasi stesen radio SARAWAKfm yang melibatkan semua penyampai radio (DJ) stesen berkenaan.

Program juga julung kalinya diadakan di Kuching dan sebelum ini acara seumpamannya pernah diadakan di beberapa bahagian di Sarawak termasuk Limbang dan Kota Samarahan.

Ia dilihat sebagai satu pendekatan bagi DJ SARAWAKfm khasnya dan RTM Sarawak amnya untuk berinteraksi secara langsung dengan pendengar serta sebagai medan atau medium untuk mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin antara stesen radio berkenaan dengan pendengar setempat.

Selain itu program sedemikian juga menjadi pendekatan lebih mesra dan terus kepada SARAWAKfm dengan masyarakat pendengar.

Secara keseluruhannya ia merupakan aktiviti atau program memasyarakatkan radio (SARAWAKfm) atau RTM.

Acara dilihat bukan sahaja memberi peluang pendengar SARAWAKfm bersemuka dengan pendengar tetapi juga sebagai tempat mempromosikan DJ selain memperkenalkan program-program baharu yang diterbitkan SARAWAKfm.

Beberapa program atau aktiviti telah disusun atur untuk program sehari tersebut seperti rancangan Jiran Sekampung terbitan DJ OL (Othman Laili), siaran secara langsung program Bijak Si Cilik terbitan DJ Jai, siaran langsung dan rakaman rancangan Muzik Ria terbitan Bahagian Hiburan RTM Kuching dan kemuncaknya siarang langsung program ‘Juh…Bermukun SARAWAKfm’.

Antara aktiviti lain ialah persembahan pentas mini oleh para DJ SARAWAKfm serta artis jemputan seperti Shahreza (Juara Bintang Kecil 2013) dan Daus selain acara sampingan seperti permainan, kuiz dan sebagainya.

Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan program berkenaan dan dijangka pengarah penyiaran kawasan Sarawak akan hadir bagi memeriahkan program berkenaan.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai aktiviti boleh menghubungi Saiful Arini di talian 082-248422.

Advertisement