Anda di sini

Peneroka hidap sakit kronik ingin berjumpa tiga adik

Advertisement

GUA MUSANG: Seorang peneroka di Tanah Rancangan FELDA Perasu di sini yang terpisah daripada tiga adiknya sejak lebih 30 tahun lalu, merayu mereka menziarahinya yang menghidap penyakit kronik.

Mohd Nor Daud, 67, yang tinggal seorang diri selepas isteri dan anak tunggalnya meninggal dunia dalam tempoh dua tahun lepas, berkata dia berhijrah ke sini dari Melaka sejak lebih 20 tahun lepas.

Saya difahamkan ketiga-tiga mereka tinggal di Negeri Sembilan, iaitu adik perempuan Rohani dan Kamsiah di Bukit Jalur, Air Kuning, Gemas, manakala adik lelaki Mat Zain di Jelapak, Bahau, katanya ketika ditemui pemberita, di rumahnya di sini semalam.

Katanya dia yang menghidap sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan asma kini bergantung kepada ehsan tetangga kerana tidak mampu menguruskan diri selepas isterinya Che Esah Abdullah meninggal dunia dua tahun lalu, manakala anak lelaki mereka Abdul Salam terbunuh dalam nahas jalan raya lebih setahun lepas.

Mohd Nor berkata akibat penyakit yang dihidapi dia juga tidak lagi mampu menguruskan ladang kelapa sawitnya.

“Apa yang menjadi harapan saya ialah dapat bertemu tiga adik buat kali terakhir sebelum memejamkan mata,” katanya.

Menurut Mohd Nor, dia sentiasa mengingati dan merindui adik-adiknya itu namun tiada kemampuan untuk mencari mereka.

“Oleh itu saya merayu supaya mereka datang ke sini untuk menjenguk saya,” katanya. — Bernama

Advertisement