Anda di sini

Liga Super misi Sarawak

Advertisement

Joseph Kalang Tie, Kapten pasukan Sarawak

Peluang Ngap Sayot memburu kejuaraan dalam liga berprestij itu tetap ada: Joseph

KUCHING: Kapten pasukan Sarawak, Joseph Kalang Tie mahu rakan-rakan sepasukan agar memberi fokus terhadap Liga Super 2014 selepas tersingkir dalam kempen Piala FA 2014 Selasa lalu. Katanya, peluang untuk memburu kejuaraan dalam liga berprestij itu tetap ada namun setiap pemain perlu memperbaiki kesilapan masing-masing dan berusaha memantapkan lagi permainan mereka. “Sudah tentu saya dan rakan-rakan sepasukan amat kecewa kerana gagal membawa Sarawak ke separuh akhir Piala FA musim ini meskipun kita hampir berjaya melakukannya,” katanya di sini semalam. Apapun, katanya, perjuangan masih belum selesai dan fokus kita kini adalah mengekalkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Super.

Menurutnya, Sarawak berpeluang menjadi pencabar utama dalam memburu gelaran bagi musim ini jika skuad berjaya mengekalkan momentum kemenangan dalam setiap perlawanan. Ini tegasnya memerlukan kerjasama serta komitmen yang tinggi dari semua pemain.

Joseph telah menjaringkan satu gol dalam Liga Super setakat ini, bagaimanapun menegaskan saingan masih terlalu awal dan sukar untuk meramal pasukan mana yang lebih baik pada musim ini. “Kita perlu bekerja dengan lebih keras kerana pasukan lain mula menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Pemain sedang bercuti dan kembali memulakan latihan pada Isnin depan sebagai persiapan menghadapi T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada 8 Mac nanti. Mereka kemudiannya akan menentang Lions XII di Stadium Negeri Kuching pada 15 Mac depan. Sarawak di tangga ketiga di belakang Terengganu dan Kelantan setelah mengumpul sembilan mata.

Advertisement