Anda di sini

Kuching, Kota Samarahan dilanda banjir

Advertisement

BANJIR: Saibah berdiri di hadapan rumahnya yang dilanda banjir.

KUCHING: Hujan lebat yang turun tanpa henti dari jam 11.00 malam kelmarin hingga 5.00 pagi semalam mengakibatkan beberapa kampung dan jalan di sekitar bandar raya ini dan Kota Samarahan dilanda banjir kilat.

Antara kawasan yang terjejas teruk ialah Jalan Laksamana Cheng Ho, Kampung Tabuan Dayak di Kuching dan Kampung Tambirat, Kampung Tanjung Bundong Fasa Tiga dan Kam­pung Sindang Baru di Kota Samarahan.

Menurut Saibah Bohari, 52, dari Kampung Sindang Baru di Kota Samarahan, rumahnya dimasuki air sejak jam 2.00 pagi semalam setinggi tiga kaki.

“Setiap kali hujan lebat turun tanpa henti lebih dua jam pasti rumah saya dilanda banjir tetapi semalam paling teruk kerana hujan turun sejak jam 11 malam hingga 5 pagi.

“Banyak barangan rosak kerana ditenggelami air yang naik lebih tiga kaki sebelum mula surut seki­tar jam 6 pagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.

Saibah memberitahu, banjir ki­lat yang melanda di kampungnya itu sudah lebih lima kali sejak awal Januari lalu.

Manakala seorang lagi mangsa banjir kilat, Simah Jawi, 64, dari Kampung Tabuan Dayak di sini hanya mampu melihat barangan rumahnya ditenggelami air yang naik lebih tiga kaki.

“Inilah banjir kilat kali kedua dan merupakan paling teruk yang melanda kampung ini kerana sebelum ini rumah saya tidak per­nah dilanda banjir kilat sehingga masuk ke dalam rumah.

“Kerusi, meja, baju dan perka­kas dapur semua ditenggelami air dan beberapa barangan elektrik seperti peti sejuk dan mesin basuh rosak untuk kali kedua,” katanya.

Simah yang tinggal bersama lima anaknya memberitahu ba­hawa rumahnya mula dinaiki air sekitar jam 2 pagi sebelum air mula surat sekitar jam 7 pagi.

Pada masa sama, dia memberi­tahu bahawa sejak keadaan Sungai Tabuan menjadi kecil akibat aktiviti pembinaan, banjir kilat sering melanda kampung itu.

“Hari ini (semalam) merupa­kan antara banjir kilat yang paling teruk yang pernah saya alami,” tegasnya.

Sementara itu, menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyela­mat Malaysia (JBPM) Sarawak Tan Min Chai, pihaknya menerima panggilan kecema­san daripada penduduk dari dua kampung iaitu Kampung Tabuan Dayak, Kuching dan Kampung Tambirat, Asajaya di Kota Samarahan.

“Kami menerima panggilan sekitar jam 3.21 pagi daripada penduduk Kampung Tabuan Dayak dan panggilan sekitar jam 3.26 pagi daripada pen­duduk Kampung Tambirat.

“Bagi Kampung Tabuan Dayak seramai 10 anggota dari Balai Bomba Tabuan dikerahkan untuk memantau keadaan banjir kilat di situ dan di Kampung Tambirat pula tiga anggota dari Balai Bomba Kota Samarahan dikerahkan.

“Kesemua anggota yang ditempatkan di dua kampung itu melakukan pemantauan sehingga jam 4 pagi dan se­takat ini tiada pemindahan dilakukan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Malah, beliau memberitahu bahawa tiada kemalangan jiwa dilaporkan sepanjang in­siden banjir kilat di kedua-dua kampung yang terjejas.

“Kami sentiasa berse­dia menghadapi sebarang kemungkinan banjir kilat yang melanda negeri ini,” ujarnya.

 

Advertisement