Anda di sini

Khalid puji semangat juang tinggi anggota PGA Sarawak

Advertisement

MIRI: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memuji semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh para anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak semasa bertempur menentang tentera Kesultanan Sulu dalam insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah tahun lalu.

“Saya bangga dengan PGA Miri khasnya dan PGA Sarawak amnya kerana mereka telah memainkan peranan yang amat penting semasa insiden pencerobohan oleh tentera Kesultanan Sulu di Lahad Datu, Sabah,” katanya di sini semalam.

Menurut beliau, selain pasukan utama iaitu VAT69 dan Unit Tindakan Khas (UTK), PGA Sarawak merupakan pasukan yang lebih banyak bertempur dengan tentera penceroboh berbanding beberapa PGA lain yang ditempatkan di sana.

“Jadi… yang betul-betul bertempur dengan musuh adalah dari PGA Sarawak dengan sebahagiannya dari PGA Miri. Syabas kepada PGA Sarawak,” ujarnya.

Berikutan itu, beberapa anggota dari PGA Sarawak termasuk dua anggota dari PGA Miri telah tercedera semasa pertempuran tersebut.

Pada 11 Februari 2013, negara dikejutkan dengan insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah oleh tentera Kesultanan Sulu yang turut mengorbankan sembilan anggota pasukan keselamatan negara.

Terdahulu, Khalid merasmikan Markas Batalion 12 PGA Miri dan Balai Polis Trafik Miri yang menelan kos berjumlah RM300 juta.

Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan Pingat Kedaulatan Negara kepada 24 anggota BN12 PGA yang terbabit dalam Ops Daulat – operasi mempertahankan Sabah daripada diceroboh penganas Sulu.

Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia seandainya kawalan keselamatan seperti Kawasan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) yang dilaksanakan di Sabah diperluaskan ke Sarawak.

“Kami hanya menunggu lampu hijau daripada Kementerian Pertahanan dan yang pasti namanya bukan ESSCOM kerana ia di Sarawak,” katanya.

Perancangan itu diumumkan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Advertisement