Anda di sini

Kerajaan akan berusaha turunkan harga rumah

Advertisement

UNTUK KENANGAN: Abang Johari bersama tetamu kehormat bergambar bersama kumpulan tarian singa (Chai Ching).

KUCHING: Kementerian Perumahan akan membina lebih banyak rumah di negeri ini khasnya di kawasan bandar dalam usaha menurunkan harga rumah yang semakin meningkat saban hari.

Menterinya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, untuk itu pihaknya akan bekerja rapat dengan pihak pemaju di negeri ini termasuk Jabatan Perumahan Negara, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Kita tidak mahu pemaju mendapat keuntungan sehingga 100 peratus yang menyebabkan beban kepada pembeli rumah, sebab itu kita pinda undang-undang perumahan dan kita mempunyai cara baharu supaya harga rumah dapat kita turunkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Tamah Gong Xi Fa Chai Kementerian Perumahan Sarawak (MOH) di Wisma Sultan Tengah, Petra Jaya di sini semalam.

Majlis itu dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) dan Daya Builders Sdn Bhd setiap tahun.

Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan berkata, pihaknya akan bekerja keras untuk menurunkan harga rumah dalam memastikan rakyat Sarawak mampu memilikinya.

“Kementerian kita mungkin akan diperbesarkan dan berharap dua Menteri Muda saya (Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Datuk Francis Harden Hollis) dapat membantu menjayakan visi ini,” tambahnya.

Menurutnya, pada tahun ini pihaknya akan melaksanakan 11 projek dalam usaha membantu rakyat Sarawak memiliki rumah sendiri.

“Kita ada 11 projek (perumahan) yang kita hendak bangunkan dan kita harap dengan adanya penambahan-penambahan rumah ia dapat menurunkan harga rumah di pasaran,” tegasnya.

Di samping itu, Abang Johari memberitahu bahawa kementeriannya akan menambah bilangan rumah dalam pasaran menerusi agensi-agensi berkenaan.

Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa usaha menurunkan harga akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun dan antara langkah itu adalah membina lebih banyak rumah pangsapuri di kawasan bandar selain rumah teres dan separuh berkembar (semi-D).

Mengulas lanjut mengenai harga rumah di pasaran sekarang, beliau memberitahu terdapat peningkatan sebanyak 200 peratus terutama di kawasan bandar.

“Peningkatan sebanyak 200 peratus adalah tidak munasabah, maknanya harga rumah teres begitu tinggi harganya dan menyebabkan rakyat khasnya golongan berpendapatan sederhana tidak mampu memiliki rumah,” ujarnya.

Justeru, beliau menggesa pihak pemaju dan agensi berkaitan meneruskan kerjasama dalam usaha untuk memastikan harga rumah di negeri ini mampu dimiliki.

Hadir sama pengerusi penganjur Lau Hui Pheng dan tetamu kehormat lain.

 

Advertisement