Anda di sini

Warga emas rentung dalam bilik

Advertisement

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas ditemui rentung di dalam bilik tidurnya, selepas rumah kediamannya terlibat dalam satu kebakaran yang turut memusnahkan dua lagi kediaman lain, dalam kejadian di Kampung Bugis Batu 1, di sini, awal pagi kelmarin.

Kejadian itu berlaku pada kira-kira 3.45 pagi dan turut mengakibatkan empat keluarga tinggal sehelai sepinggang, manakala mangsa yang identitinya yang hanya dikenali sebagai Damis, 54, ditemui dalam keadaan terlentang dan rentung di bilik tidurnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Lahad Datu Mohd Apandi Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.48 pagi dan mengerahkan seramai lapan anggota bersama dua jentera dan satu kenderaan utiliti ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, kita dapati api marak dengan cepat memusnahkan ketiga-tiga kediaman terbabit, sebelum anggota bertugas berjaya mengawal kebakaran pada jam 4.26 pagi,” katanya sambil menambah, pihaknya juga dibantu oleh pasukan Bomba Sukarelawan Zon Segama dan pasukan PDRM.

Terdahulu, Pasukan Bomba yang turut dimaklumkan mengenai mangsa oleh penduduk kampung, melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat sebelum mayatnya ditemui sejurus selepas itu.

Pihaknya kini masih lagi menjalankan siasatan berhubung punca dan jumlah kerugian yang dialami kesemua mangsa.

“Sementara itu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Daerah Lahad Datu untuk bedah siasat, makluman lanjut yang kita perolehi mendapati mangsa tinggal bersendirian dan mempunyai masalah pendengaran serta kesihatan,” katanya.

 

Advertisement