Anda di sini

Tandukan Costa beri sinar harapan buat Atletico

Advertisement

MILAN, England: Peny­erang Atletico Madrid, Diego Costa menanduk gol tung­gal kemenangan ke atas AC Milan Rabu lepas, sekali gus memberikan kelebihan besar kepada harapan kelab dari Sepanyol itu untuk melangkah ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

Milan mengekang asakan demi asakan Atletico pada perlawanan menarik di San Siro tetapi selepas tiga cubaan pemain Milan terkena palang dalam separuh masa pertama, pasukan tuan rumah tersentak dengan tandukan Costa dari satu tendangan sudut untuk menewaskan penjaga gol Christian Abbiati.

Atletico, yang berkongsi mata di tangga teratas La Liga Sepanyol, mengintai peluang untuk layak ke suku akhir pertandingan ini buat kali pertama sejak 1997 apabila bertemu di Vicente Calderon dalam masa dua minggu lagi.

Atletico bermula dengan baik dan melakukan hantaran dengan agak selesa dan Costa berjaya menangani cabaran kuat untuk memberi peringa­tan awal kepada Milan tentang prestasi memberangsangkan pasukan mereka ketika itu.

Namun Atletico gagal me­mecah kebuntuan dan selepas menangani asakan awal, Mi­lan, yang dibimbing Clarence Seedorf mula menemui rentak dan mempunyai tiga peluang untuk membuka jaringan dalam separuh masa per­tama.

Jurulatih Atletico, Diego Simeone mengakui: “Selepas permulaan yang baik, kami mula hilang rentak dan agak tumpul di pintu gol mereka.

“Milan hampir menjar­ingkan gol dan juga (penjaga gol, Thibaut) Courtois be­raksi cemas menepis cubaan (Andrea) Poli. Kami agak perlahan di bahagian tengah, jadi saya mengubah strategi selepas rehat.

“Kami tidak mempunyai banyak peluang di hadapan pintu gol tetapi dalam bola sepak, ia paling penting untuk menjaringkan gol dan itulah apa yang kami lakukan pada akhirnya.”

Seedorf, pada perlawanan pertama beliau dalam Liga Juara-Juara sebagai jurulatih, memuji usaha anak buahnya dan berkata saingan masih belum berakhir.

“Secara keseluruhannya, pemain menunjukkan se­mangat dan keazaman yang tinggi dan saya juga melihat beberapa aksi individu yang hebat,” kata beliau.

“Pada akhirnya, kami men­cuba sedaya-upaya kami namun ia tidak berhasil. Apa yang menariknya, saingan ini masih belum berakhir. Saya tahu di Vicente Calderon, kami boleh bermain dengan baik juga.”

Milan mempunyai peluang pertama membuka jaringan apabila Adel Taarabt melaku­kan umpanan kepada Kaka tetapi rembatan penyudah Kaka terkena palang.

Seminit kemudian, hantaran lintang Taarabt kepada And­rea Poli ditepis oleh Cour­tois.

Atletico juga mempunyai beberapa peluang semen­tara Milan tetap bahaya dari serangan pantas, seperti yang dijangka oleh Simeone dan satu lagi cubaan Kaka terkena palang.

Dalam separuh masa kedua, Atletico mula mengimbangi rentak permainan tetapi masih gagal menembusi benteng kebal Milan, yang mempunyai beberapa lagi peluang sebelum Costa menanduk kencang bola untuk gol kelima beliau musim ini. — AFP

Advertisement