Anda di sini

Pesawat Nuri dan Hercules C-130 akan dinaik taraf berperingkat

Advertisement

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menaik taraf kemampuan pesawat Nuri dan Hercules C-130 dengan teknologi terkini secara berperingkat bagi memenuhi keperluan operasi.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata bagaimanapun peruntukan bagi tujuan itu masih dalam rundingan.

“Nuri ini walaupun sudah beroperasi sejak sekian lama, masih kuat dari segi struktur, cuma yang perlu ditingkatkan ialah sistem harus diganti dengan teknologi dan ‘avionics’ terkini,” katanya dalam sidang media, di sini semalam.

Katanya langkah itu juga dapat mengurangkan perbelanjaan membeli pesawat baharu.

Pada masa sama sebahagian daripada pesawat terbabit boleh ditugaskan dalam cabang tentera darat sebagai helikopter utiliti, katanya.

Mengenai konflik antara tentera laut Indonesia dan kerajaan Singapura, Zulkifeli berkata pihaknya tidak campur tangan dalam soal berkenaan.

Semalam, Menteri Pertahanan Singapura Ng Eng Hen dilapor berkata kapal tentera laut Indonesia KRI Usman Harun diharamkan daripada melawat dan berlabuh di republik itu.

Kapal tersebut dinamakan sempena Usman Mohamed Ali dan Harun Said, dua anggota tentera Indonesia yang disabitkan tuduhan dan dihukum mati di Singapura kerana terlibat serangan bom ke atas republik itu pada 1965.

Terdahulu Zulkifeli melancarkan buku ATM berjudul ‘The Nation’s Shield 80th Anniversary’ yang diilhamkan oleh beliau sendiri.

Buku setebal 382 muka surat itu menghimpunkan pencapaian ATM sepanjang 80 tahun penubuhannya dalam menjaga keamanan.

“Penulisannya bertujuan memberi pendedahan, pengetahuan dan penerangan yang lebih jelas kepada masyarakat mengenai peranan sebenar ATM, transformasi yang dialaminya serta pencapaian-pencapaian terkini.

“Ia akan dikeluarkan setiap lima tahun dan dijangka dijual dalam  jangka masa terdekat di kedai-kedai buku terpilih,” kata Zulkifeli. — Bernama

Advertisement