Anda di sini

Honda terjunam dalam laut di Tanjung Lipat

Advertisement

KELIHATAN kenderaan terbabit diangkat menggunakan sebuah kren.

KOTA KINABALU: Seorang remaja berusia 17 tahun terbunuh selepas kereta Honda Civic yang dinaiki bersama dua lagi rakannya terbabas sebelum terhumban ke dalam laut berhampiran lampu isyarat KPD, Tanjung Lipat, Jalan Tun Fuad Stephen, di sini, pagi kelmarin.

Insiden terjadi kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Alvinuslan Madayau, disahkan meninggal dunia di hospital selepas mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan badan akibat tercampak keluar daripada kenderaan selain terhempas di atas batu dalam kejadian berkenaan.

Berdasarkan siasatan awal polis, mangsa dipercayai duduk di bahagian belakang Honda terbabit sementara dua lagi rakannya Eyad Azli Kassim, 20, sebagai pemandu dan seorang lagi, Mohd Abdul Halim Abdul Rabak, 21, sebagai penumpang hadapan.

Ketiga-tiga mangsa dikatakan sedang menuju ke kawasan Sepanggar dari Bandaraya Kota Kinabalu sebelum kenderaan dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum terjunam ke dalam laut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Jauteh Dikun berkata, impak daripada kemalangan itu, mangsa yang duduk di bahagian belakang tercampak keluar manakala pemandu dan penumpang hadapan sempat menyelamatkan diri.

“Siasatan awal polis mendapati kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan sebelah kiri jalan sebelum terhumban ke dalam laut.

“Mangsa yang meninggal dunia dikatakan tercampak keluar dari kereta itu manakala dua lagi rakannya sempat menyelamatkan diri sebelum kenderaan berkenaan tenggelam,” katanya.

Jauteh berkata, ketiga-tiga mereka dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) oleh orang awam namun salah seorang daripada mereka disahkan meninggal selepas mengalami kecederaan parah dalam insiden itu.

“Dua lagi mangsa dipercayai mengalami kecederaan ringan dan kini menerima rawatan lanjut di hospital.

“Polis masih menyiasat kejadian kemalangan ini dan kita meminta kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan,” katanya.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohammad Affendy K Ramin berkata, proses mengangkat kereta yang tenggelam di laut terbabit berjaya dilakukan kira-kira jam 3.30 petang kelmarin dengan bantuan sebuah kren pengangkut.

“Bomba terpaksa mengambil masa kira-kira sejam termasuk menggunakan khidmat unit penyelam bagi kerja-kerja mengangkut kereta itu dengan bantuan sebuah jentera kren,” katanya.

 

 

Advertisement