Anda di sini

70 PCS bakal dibina di seluruh negara

Advertisement

KOTA TINGGI: Tujuh puluh sistem kontena mudah alih (PCS) yang digunakan untuk membekalkan petroleum bagi penduduk setempat terutamanya di kawasan pedalaman, bakal dibina di seluruh negara tahun ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata daripada jumlah itu, sebanyak 37 PCS telah pun siap dibina dan menunggu kelulusan untuk dibuka.

“Sehingga Februari tahun ini, lapan PCS telah dibuka iaitu tiga di Perak, tiga di Sarawak dan satu masing-masing di Selangor dan Johor,” katanya kepada pemberita selepas melawat PCS pertama di negeri ini dekat Tanjung Sedili, di sini.

PCS merupakan konsep baharu dalam mengedarkan petroleum yang memberikan kemudahan kepada pengguna untuk memperoleh bekalan minyak terutamanya penduduk di kawasan pedalaman.

Beliau berkata PCS tidak memerlukan keluasan seperti stesen minyak kerana pelanggan boleh mengisi minyak melalui pam yang dihubungkan terus dengan bekas kontena yang disediakan.

Ahmad Bashah berkata dengan anggaran penduduk sekitar PCS Kuala Sedili yang berjumlah 22,000 orang, sasaran pelanggan terdiri daripada penduduk tempatan termasuk pengusaha dan penternak tempatan.

Kemudahan itu juga disediakan kepada nelayan tempatan yang menggunakan kad e-Nelayan.

“Dengan adanya kemudahan PCS, penduduk tidak perlu lagi bersusah payah untuk ke stesen-stesen minyak yang jaraknya antara 35 hingga 55 kilometer,” kata beliau.

Turut hadir Pengarah KPDNKK Johor Ayub Abd Rahman dan Pengarah Urusan Petro Teguh (M) Sdn Bhd Datuk Azmin Mustam Abdul Karim. — Bernama

Advertisement