Anda di sini

Pasar Nelayan bantu perangi orang tengah

Advertisement

Pembukaan banyak Pasar Nelayan perlu bagi bantu tingkat pendapatan nelayan pantai

KUCHING: Pembukaan lebih banyak Pasar Nelayan pada masa akan datang perlu jika kerajaan benar-benar serius mahu memerangi orang tengah dalam sektor perikanan di negeri ini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Sarawak (PENESA) Bohari Ganti berkata, meskipun isu orang tengah di Sarawak tidak seserius di Semenanjung Malaysia, pembukaan lebih banyak Pasar Nelayan dilihat dapat meningkatkan pendapatan khususnya nelayan pantai.

Ketika ini katanya, hanya terdapat beberapa Pasar Nelayan telah diwujudkan dengan kerja sama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sarawak antaranya di Bakam Miri, Bako dan Sri Muara Tabuan (Kuching) yang terbukti banyak membantu nelayan setempat memasarkan terus hasil tangkapan mereka.

“Situasi orang tengah dalam sektor perikanan di Sarawak tidak seserius di Semenanjung Malaysia kerana orang tengah di sini merupakan dalam kalangan nelayan itu sendiri yang membeli ikan daripada rakan nelayan pada harga berpatutan.

“Kebanyakan nelayan kita lebih-lebih lagi nelayan pantai mereka akan menjual terus hasil tangkapan sebaik turun dari bot di Pasar Nelayan atau sebaik tiba di darat kepada orang ramai tanpa perlu melalui orang tengah melainkan nelayan bot-bot besar,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Bohari lagi, selain menjual hasil tangkapan di Pasar Nelayan, ada jua nelayan di negeri ini mengambil inisiatif menjual sendiri di Pasar Tani bersama hasil-hasil keluaran lain seperti belacan, ikan masin dan tanaman.

Bagaimanapun katanya, jika nelayan menjual sendiri hasil tangkapannya, ia dapat menguntungkan dua pihak iaitu nelayan sendiri dan pengguna.

“Misalnya orang tengah membeli RM10 sekilogram daripada nelayan dan menjual RM20 sekilogram kepada pengguna, jelas nelayan tidak mendapat pulangan yang lumayan tetapi sekiranya nelayan itu sendiri menjual ikan yang sama pada harga RM15 sekilogram, nelayan itu akan untung RM5 begitu juga pembeli,” jelasnya.

Justeru ujarnya, usaha kerajaan menyediakan modal pusingan RM5,000 bagi persatuan nelayan di seluruh negara sebagai modal pusingan memulakan perniagaan sendiri memasarkan hasil tangkapan di Pasar Tani dilihat peluang yang harus direbut oleh persatuan-persatuan nelayan kawasan di Sarawak.

Menurutnya ramai nelayan pantai di negeri ini mahu memulakan perniagaan yang tidak hanya menjual hasil tangkapan tetapi berdepan kekangan modal memandangkan pendapatan diperoleh tidak menentu kerana banyak dipengaruhi faktor cuaca.

“Diharap dengan modal pusingan ini nelayan kita dapat memulakan perniagaan kerana mereka ini sememangnya diberi latihan atau kursus keusahawanan oleh LKIM, sekurang-kurangnya memperoleh pendapatan melepasi paras kemiskinan kalau tidak ke tahap pendapatan tinggi atau lumayan,” katanya.

BERNAMA semalam melaporkan bahawa Pengerusi LKIM Datuk Irmohizam Ibrahim sebagai berkata peruntukan modal pusingan itu merupakan inisiatif permulaan selepas pelancaran jihad memerangi orang tengah dalam sektor perikanan negara oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Peruntukan modal itu menurut Irmohizam ialah untuk membolehkan ahli-ahli persatuan nelayan memulakan perniagaan sendiri di Pasar Tani.

“Selain itu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga menyediakan lot perniagaan kepada nelayan atau persatuan nelayan untuk memasarkan sendiri produk mereka,” katanya.

Menurut Irmohizam lagi, penjualan terus hasil perikanan akan mengurangkan harga ikan antara lima hingga 20 peratus berbanding di tempat lain dan ini sekali gus membantu mengurangkan beban pengguna.

Irmohizam berkata sehingga kini terdapat 520 Pasar Tani di seluruh Malaysia dan sejumlah 156 persatuan nelayan atau nelayan sendiri yang memasarkan produk mereka.

Advertisement