Anda di sini

JKJR pergiat kempen advokasi keselamatan jalan raya

Advertisement

PUTRAJAYA: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan mempergiat kempen dan program untuk meningkatkan kesedaran mengenai keberkesanan penggunaan tali pinggang keledar di tempat duduk belakang di kalangan orang ramai.

Ketua Pengarah JKJR Datuk Tam Weng Wah berkata program advokasi keselamatan jalan raya itu akan dijalankan dengan kerjasama DriveFos Training & Consultancy (DriveFOS).

Katanya peraturan penggunaan tali pinggang keledar di tempat duduk belakang berkuat kuasa 1 Jan 2009 namun kesedaran pengguna berada pada tahap tidak memuaskan iaitu kira-kira 10 peratus berdasarkan kajian Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pada 2011.

Sehubungan itu JKJR dan DriveFOS bekerjasama untuk memberikan kesedaran melalui simulasi yang membolehkan pengguna merasai sendiri impak semasa pelanggaran dan keberkesanan pemakaian tali pinggang keledar, katanya pada majlis menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) JKJR-DriveFos di sini semalam. Hadir sama Pengasas dan Pengarah Urusan DriveFOS Lee Weng Kai.

“Saya percaya dengan menggunakan teknologi keselamatan jalan raya bertaraf dunia sebegini, kempen-kempen dan program-program advokasi keselamatan jalan raya akan menjadi lebih interaktif dan menyeronokkan kepada masyarakat.

“Selain itu, teknologi canggih ini akan memberikan pengalaman lebih efektif dan mampu mengubah tingkah laku pengguna jalan raya untuk menggunakan tali pinggang keledar di hadapan dan belakang demi keselamatan mereka dan penumpang,” kata Tam.

DriveFOS merupakan sebuah organisasi yang mempunyai kepakaran dalam bidang keselamatan jalan raya terutamanya dalam memberikan latihan ‘Defensive Driving dan Road Safety Education’ melalui simulasi.

Beliau berkata kajian menunjukkan penumpang belakang yang tidak memakai tali pinggang keledar mengundang risiko dan bahaya kepada pemandu atau penumpang di hadapan apabila berlakunya kemalangan.

Memberikan contoh, katanya pada kelajuan 50 kilometer sejam, penumpang belakang seberat 60 kilogram yang tidak memakai tali pinggang keledar boleh menghentam pemandu atau penumpang hadapan kenderaan dengan kesan impak 2.4 tan dan ia boleh membunuh. — Bernama

“Kajian juga menunjukkan penggunaan tali pinggang belakang berupaya untuk mengurangkan kadar kematian sebanyak 50 peratus, kecederaan parah 45 peratus dan kecederaan ringan sebanyak 50 peratus. Ia juga boleh mengurangkan risiko kepada pemandu dan penumpang di hadapan sebanyak 75 peratus,” katanya. — Bernama

Advertisement