Anda di sini

CAP bimbang pencerobohan bot pukat tunda jejas pendapatan 80,000 nelayan

Advertisement

TIDAK PUAS HATI: Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Nelayan Pantai Kuala Jerlun, Che Ani Mat Zain (tiga kanan) bersama nelayan Kuala Jerlun menunjukkan pukat dan jaring ikan yang rosak akibat kerakusan bot nelayan pukat tunda di Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang kegagalan membendung aktiviti pencerobohan bot pukat tunda di kawasan zon nelayan pantai akan memberi kesan kepada kira-kira 80,000 nelayan pantai di negara ini.

Pegawai Luar Bandarnya Zulkifli Yusuf berkata kerakusan bot nelayan pukat tunda menangkap ikan di pesisir pantai menyebabkan pendapatan nelayan di negara ini terjejas berikutan hasil tangkapan berkurangan antara 30 hingga 80 peratus.

Beliau berkata penggunaan pukat tunda dan pukat buaya oleh bot-bot kelas C yang sepatutnya berada pada jarak tujuh batu nautika dari pesisir pantai turut mengancam kepupusan anak dan benih ikan di perairan negara ini.

Aktiviti terbabit berlarutan lebih 10 tahun lalu sehingga mengundang rasa tidak puas hati nelayan pantai kerana tiada tindakan berkesan dilakukan pihak berkuasa bagi menangani masalah itu sehingga menyebabkan 150 spesies ikan di negara ini terancam, antaranya bawal, tenggiri dan gelama, katanya.

“Sudah tiba masanya kerajaan ikut jejak langkah Hong Kong, Jepun, Indonesia dan Venezuela yang mengharamkan penggunaan pukat tunda,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan nelayan di Kampung Kuala Jerlun, Ayer Hitam semalam.

Zulkifli berkata CAP yang melancarkan program pengharaman penggunaan pukat tunda hari ini akan menjelajah ke seluruh negeri bagi mendapatkan tandatangan daripada nelayan pantai yang terlibat. — Bernama

Advertisement