Anda di sini

10 MyCenTHE ditubuh menjelang 2016

Advertisement

BAGAIMANA RASANYA?: Kamalanathan (dua kiri) mencuba keenakan kek ketika melawat gerai pelajar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Politeknik Merlimau sebagai MyCenTHE di Melaka, semalam. Turut kelihatan Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Datuk Md Yunus Husin (kiri). — Gambar Bernama

Pusat sehenti terpilih yang menyediakan program berasaskan pekerjaan sebenar

JASIN: Kementerian Pendidikan menyasarkan untuk menubuhkan 10 Pusat Pendidikan Pelancongan dan Hospitaliti (MyCenTHE) dalam tempoh dua tahun menjelang akhir 2016.

Timbalan Menteri Pendidikan II P.Kamalanathan berkata sehingga kini, lima MyCenTHE telah ditubuhkan di bawah Projek Permulaan Ke-10 (EPP10) sejak 2011 iaitu di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan yang terbaharu di Politeknik Merlimau Melaka.

Beliau berkata MyCenTHE diwujudkan sebagai pusat sehenti terpilih yang menyediakan program berasaskan pekerjaan sebenar melalui kerjasama strategik dengan pemain industri pelancongan utama di negara ini.

“Kita akan terus memastikan program seumpama ini mendapat sokongan dan komitmen daripada Kementerian Pendidikan dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga profesional dalam industri di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Politeknik Merlimau sebagai MyCenTHE di sini, semalam.

Penubuhan MyCenTHE, yang juga inisiatif kementerian melalui Pelan Strategik Pendidikan Tinggi Nasional (PSPTN), bertujuan meyediakan latihan bersesuaian dengan pelajar institusi pengajian tinggi sebelum mereka tamat pengajian.

Kamalanathan kira-kira 50,000 pekerja mahir dalam industri pelancongan disasarkan dapat dikeluarkan menjelang 2020.

Pemilihan Politeknik Merlimau sebagai MyCenTHE bagi memastikan institusi pengajian tinggi terutama yang menawarkan pengajian bidang vokasional lebih berhaluan industri pada masa hadapan, katanya.

Selain itu, penubuhan pusat itu di Melaka juga bersesuaian dengan keistimewaan negeri itu sebagai bandar warisan dan pusat pelancongan di negara ini.

“MyCenTHE bukan sahaja menyediakan latihan secukupnya kepada pelajar malah memberi peluang mendapat ganjaran setimpal bagi meningkatkan status sosial mereka pada masa depan,” katanya.

Pada majlis itu, Kamalanathan turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (LOC) antara Pengarah Politeknik Merlimau Mejar (K) Zolkarnain Jobshi dengan wakil-wakil industri. — Bernama

Advertisement