Anda di sini

Tindakan bijak wanita bantu tahan peragut

Advertisement

SIASAT:Suspek diiringi dua anggota polis dibawa ke IPD Kuching untuk siasatan lanjut.

Mangsa catat nombor pendaftaran motosikal, cam bentuk badan lelaki yang meragutnya

KUCHING: Tindakan bijak seorang wanita yang men­catat nombor pendaftaran motosikal serta mengecam bentuk badan lelaki yang meragutnya berjaya mem­bawa kepada penahanan seorang suspek lewat malam kelmarin.

Menurut sumber, kejadian berlaku semasa mangsa yang berusia 20-an dalam per­jalanan pulang ke rumahnya di Petra Jaya, di sini iaitu sekitar jam 4 petang Isnin lepas.

Difahamkan, ketika mangsa yang menunggang motosikal seorang diri menghampiri kawasan Perpustakaan Neg­eri, dia telah dihampiri dua lelaki tidak dikenali yang turut menunggang sebuah motosikal.

“Seorang daripada lelaki tersebut kemudian meragut beg tangan mangsa dan terus memecut laju dari tempat kejadian.

“Mangsa bagaimanapun sempat mencatat nombor pendaftaran motosikal serta mengecam bentuk badan suspek dan kemudian terus membuat laporan polis ber­hubung kejadian itu,”kata sumber.

Hasil daripada laporan yang dibuat oleh mangsa, sepasu­kan anggota polis kemudian melakukan satu serbuan ke atas sebuah rumah di Semar­iang, di sini dan berjaya me­nahan seorang lelaki berusia 29 tahun sekitar jam 11.30 malam.

Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching untuk diam­bil keterangan dan sehingga berita ini ditulis semalam masih ditahan untuk siasatan lanjut.

Sementara dalam satu ke­jadian berasingan, seorang lelaki ditahan selepas didakwa meragut beg tangan seorang wanita berusia 41 tahun berdekatan sebuah kedai roti di Satok, di sini petang semalam.

Difahamkan, suspek ber­jaya ditahan oleh orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Beg tangan mangsa yang mengandungi dokumen peribadi serta wang tunai kira-kira RM100 juga berjaya ditemui semula dan telah dis­erahkan kepada mangsa.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat oleh mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Advertisement