Anda di sini

STING bongkar makmal proses heroin di P.Pinang

Advertisement

GEORGE TOWN: Dua lelaki dan dua wanita ditahan manakala 80 kilogram dadah jenis heroin dirampas dalam operasi Pasukan Khas Tektikal Perisikan Narkotik (STING), yang berjaya membongkar sebuah makmal memproses heroin di sebuah rumah di Greenland di sini, kelmarin.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam akaun twitternya mengucapkan tahniah kepada pasukan STING atas kejayaan membongkar makmal memproses heroin itu.

“Syabas STING@PDRMsia berjaya lagi tumpaskan makmal proses heroin di Penang tadi (kelmarin). Tangkap empat orang rampas lebih 80kg heroin,” kata Khalid dalam twitternya malam kelmarin.

Menurut sumber polis, serbuan ke atas rumah itu dibuat tengah hari kelmarin hasil beberapa operasi polis hingga membawa kepada penahanan empat individu.

Seorang daripada suspek itu dibawa ke rumah terbabit dan hasil pemeriksaan, polis merampas lebih 73,000 gram dipercayai dadah jenis heroin dan lebih 9,000 gram dadah dipercayai asas heroin.

Barangan lain yang turut dirampas ialah peralatan yang dipercayai diguna untuk memproses dadah termasuk serbuk kimia kafein, pencair, klorofom, cecair kimia, asid sulphamic, ketuhar gelombang mikro, plat panas elektrik dan bahan tampal.

Sumber itu berkata polis menahan seorang lelaki dan wanita di Tanjung Tokong di sini pada Ahad lepas dan merampas dadah jenis syabu, heroin dan pil eramin 5.

Sepasang suami isteri turut ditahan pada hari sama dan hasil pemeriksaan menemui satu paket kecil dadah dipercayai jenis heroin dalam poket seluar lelaki terbabit.

Beliau berkata polis kemudian membawa lelaki terbabit dan isterinya ke sebuah rumah urut di sini dan hasil pemeriksaan, polis menemui dadah jenis heroin.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dijadual mengadakan sidang akhbar mengenai pembongkaran makmal dadah itu di sini pada jam 2 petang ini. — Bernama

Advertisement