Anda di sini

SPDP sedia mendengar nasihat Adenan

Advertisement

MIRI: Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) bersedia mendengar dan mendapatkan nasihat daripada Tan Sri Adenan Satem, selaku peneraju Barisan Nasional (BN) Negeri yang baharu kelak, bagi menyelesaikan masalah yang ber-kaitan dengan parti itu termasuk isu-isu membabitkan Kumpulan 5.

Setiausaha Agung SPDP Datuk Nelson Balang Rining memberitahu, parti itu yang amat mengalu-alukan per-alihan tampuk kepimpinan negeri yang bakal diterajui Adenan, berkata SPDP amat terbuka untuk menerima pandangan dan nasihat beliau (Adenan) demi kebaikan BN Negeri dan bagi mengukuh-kan perpaduan sedia ada di kalangan parti dalam BN.

“Dengan pengalaman luas yang dimiliki oleh Tan Sri Adenan dan kebijakasanaannya, saya amat yakin beliau mempunyai cara tersendiri dalam membantu SPDP menyelesaikan masalah yang membelenggu parti ini,” katanya.

Nelson berkata demikian kepada Utusan Borneo di sini semalam, selepas menyampaikan 123 unit Komputer Riba 1Malaysia kepada kumpulan penerima pertama dari kawasan N.70 Ba’Kelalan yang terdiri daripada para pelajar sekolah dan pastor gereja.

Pada masa yang sama juga, Nelson memberi jaminan bahawa SPDP juga sentiasa bersedia untuk membantu Adenan dalam menangani isu-isu yang turut mempunyai impak ke atas BN, khususnya berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan berakhir pada Mei 2016, bagi memberi laluan kepada PRN Ke-11 diadakan.

Beliau berkata SPDP selaku salah sebuah parti kompenan BN Negeri, sentiasa berharap untuk melihat BN terus maju dan kekal relevan dalam memperjuangkan rakyat dan pembangunan negeri ini.

Pada masa yang sama beliau berkata SPDP kini bersedia untuk berdepan PRN Ke-11 dengan mengadakan program-program bergerak dan aktiviti yang akan melibatkan agenda pembangunan bagi memastikan sokongan rakyat terus diberikan kepada parti dan BN.

Mengenai krisis dalaman yang pernah melanda SPDP sebelum ini, Nelson berkata parti itu berjaya meng-harunginya dan kini SPDP tidak mempunyai sebarang masalah dalaman lagi.

Sebaliknya masalah Kumpulan 5 hanya di kalangan ahli kumpulan itu sahaja yang terdiri daripada Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi Datuk Sylvester Entri Muran, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian merangkap ADUN Tasik Biru Datuk Peter Nansian Ngusie, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga merangkap ADUN Bekenu Rosey Yunus, ADUN Batu Danau Paulus Palu Ngumbang dan bekas Ahli Parlimen Mas Gading Datuk Dr Tiki Lafe.

Terdahulu pada majlis tersebut, Nelson yang juga pengerusi SPDP Ba’Kelalan, dalam ucapannya berkata penduduk di konstituensi tersebut kini semakin sedar dan ‘melihat’ pembangunan apa yang telah dibawa oleh pembangkang ke kawasan mereka.

Malah katanya, pembangunan di Ba’Kelalan masih terlalu perlahan kerana pembangkang tidak mempunyai geran dan bantuan untuk membangun kawasan itu sebagaimana BN sebelum ini.

“Tiga tahun diperintah oleh pembangkang, mereka hanya tahu bercakap sahaja tetapi tiada satupun pembangunan yang dilakukan di Ba’Kelalan dan sekarang sudah tiba masa bagi penduduk menilai dan menghakimi perkara tersebut,” katanya.

Sebaliknya beliau mem-beritahu, hanya BN yang mampu membawa pembangunan ke kawasan itu dan bukannya PKR.

Mengenai pemberian Komputer Riba 1Malaysia yang diagihkan itu, beliau berkata ia adalah kumpulan pertama dan agihan seterusnya akan menyusul, sambil berharap penerima akan memanfaatkan sebaik mungkin pemberian tersebut, ke arah merapatkan jurang digital di kalangan rakyat.

Advertisement