Anda di sini

Seorang daripada empat suspek curi kenderaan dan pecah rumah diberkas

Advertisement

BINTULU: Seorang dari­pada empat suspek diper­cayai terlibat dalam kes jenayah curi kenderaan dan pecah rumah diberkas polis dalam tangkapan yang di­jalankan di Jalan Masjid, di sini sekitar jam 2.45 petang semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu Superin­tenden Madang Usat, suspek merupakan warga tempatan bersama tiga lagi rakannya semasa pemeriksaan dilaku­kan berada dalam sebuah kereta dan belum sempat polis memperkenalkan diri dan membuat pemeriksaan, kereta terbabit memecut laju melarikan diri.

“Melihat akan situasi itu, polis segera mengejar kereta yang mencurigakan itu dan ketika tiba di kawasan Lucky Tower, kereta yang dinaiki penjenayah berk­enaan terbabas di simpang masuk kawasan perumahan terbabit,” katanya pada sidang media di sini petang semalam.

Jelasnya, sejurus insiden berkenaan seorang suspek berjaya ditahan ketika ber­sembunyi di kawasan semak tidak jauh dari situ manakala seorang lagi suspek wanita dan dua lelaki berjaya mela­rikan diri.

Katanya salah seorang suspek yang melarikan diri merupakan seorang lelaki, Karon Lantan berumur 36 tahun dari Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Sungai Plan Tanjung Kidu­rong di sini.

Pemeriksaan dijalankan ke atas kereta terbabit men­emukan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan suspek untuk menjalankan kegiatan jenayah seperti pemotong besi, gergaji besi, sebilah parang dan kunci kenderaan.

“Polis turut mendapati kereta digunakan kumpulan terbabit melakukan kegia­tan jenayah adalah kereta curi yang dilaporkan hilang di kawasan Tanjung Batu, di sini pada 15 Februari lalu,” jelas beliau.

Kes itu disiasat di bawah Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Polis akan memperhe­batkan usaha menjejaki tiga suspek yang masih bebas dan individu terbabit yang ter­libat secara langsung dalam jenayah curi kenderaan dan pecah rumah di sini.

Madang berkata, pihakn­ya berusaha menumpaskan sindiket curi kenderaan yang semakin berleluasa di bahagian ini.

“Kami minta bantu­an orang ramai bagi me­maklumkan kepada polis sekiranya mengetahui se­barang aktiviti jenayah ber­laku di kawasan kediaman dan persekitaran mereka,” katanya.

Advertisement