Anda di sini

Rumah panjang jadi arang

Advertisement

SELANGAU: Sebuah rumah panjang 16 pintu yang baharu berusia lima tahun di Sungai Tepus, Hulu Balingian di sini musnah dalam satu kebakaran kira-kira jam 10 pagi semalam.

Kebakaran yang berpunca daripada bahagian dapur salah sebuah pintu (bilik) di Rumah Lichai Pusong itu menyebabkan kira-kira 96 penduduknya kehilangan tempat tinggal.

Menurut seorang mangsa, Muyah Marat, 50, dia baharu sahaja selesai mandi apabila menyedari kebakaran itu yang bermula dari bilik sebelah kediamannya.

“Apabila keluar, api sudah marak dari bilik sebelah. Saya kemudian terus mencapai sebuah periuk nasi sebelum keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Muyah yang baharu sahaja beberapa minggu selesai menjalani pembedahan, berada di rumah kerana masih belum sihat sepenuhnya sementara suaminya mencari kayu untuk membina pondok di sawah padi mereka.

“Sekiranya saya baharu menjalani pembedahan dan masih belum dapat berjalan, saya mungkin mati,” katanya sambil memberitahu hanya sempat menyelamatkan sedikit harta benda termasuk sebuah kereta milik anaknya.

Difahamkan, kebakaran bermula dari dapur apabila salah seorang penghuni dikatakan terlupa hendak memadamkan api dapur setelah menjerang air sebelum pergi ke pekan Selangau.

Kebanyakan penduduk keluar bekerja atau pergi ke sawah dan sebahagian penduduk berada di rumah panjang terbabit adalah golongan tua.

Menurut Penghulu Thomas Jawa, beliau bersama beberapa rakannya bergegas ke tempat kejadian apabila dimaklumkan mengenai kebakaran terbabit.

“Apabila kami sampai, api masih merebak memusnahkan keseluruhan rumah panjang itu,” ujarnya sambil memberitahu bahawa penduduk Rumah Lichai baharu sahaja siap membina rumah panjang mereka setelah berpindah dari tebing Sungai Tepus.

Sehubungan itu, Thomas menasihati penduduk rumah panjang agar sentiasa berhati-hati, lebih-lebih lagi ketika musim panas terutama ketika memasak di dapur.

“Kita harus memastikan api dapur dipadamkan apabila hendak keluar rumah sama ada hendak ke pekan atau ke bilik sebelah,” katanya yang turut membantu menghantar bantuan awal dari Pejabat Daerah Selangau kepada mangsa kebakaran.

Bantuan yang dihantar termasuk bahan makanan, beras, mi, dapur memasak, tong gas dan sebagainya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral Abdul Mutalif Jaafar memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.08 pagi dan sampai di tempat kejadian jam 11.50 pagi.

Katanya seramai 24 anggota bomba dari Balai Bomba Sibu Sentral dan Balai Bomba Sungai Merah menggunakan dua jentera bergegas ke tempat kejadian.

Bagaimanapun, jarak tempat kejadian yang jauh iaitu kira-kira 175 kilometer dari balai bomba terdekat menyebabkan rumah panjang itu musnah sama sekali.

“Kami menggunakan air dari sungai berhampiran bagi memadamkan sisa-sisa kebakaran memandangkan ketika pihak bomba sampai rumah panjang itu telah musnah,” jelas Mutalif.

Beliau memberitahu, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung punca kebakaran dan tiada kecederaan dilaporkan berlaku dalam kejadian tersebut.

Hadir sama Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Zon 4 Abdul Mutalib Rashid serta Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah Graji Layau.

Advertisement