Anda di sini

Perompak dipenjara 6 tahun dan 2 sebatan, diarah bayar pampasan

Advertisement

SIBU: Seorang lelaki yang didakwa merompak beg tangan seorang wanita dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Frizer Nyelang, 22, dari Hulu Lasi, Julau turut diarah membayar pampasan sebanyak RM1,000 kepada mangsa atau penjara dua bulan.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap tuduhan itu selepas dibacakan serta diterangkan kepadanya melalui seorang penterjemah.

Hakim Mahkamah Sesyen Indra Ayub mendengar pengakuan tertuduh dan menjatuhkan hukuman tersebut.

Dalam penghakimannya, beliau mengambil kira fakta kes tertuduh yang mengaku bersalah, faktor-faktor mitigasi dan kepentingan awam.

Menurut fakta kes, pada 14 Oktober 2012 jam 6.15 petang mangsa yang berusia 39 tahun menunggang motosikal dan tiba-tiba didatangi seorang penunggang motosikal yang datang dari belakang.

Tertuduh kemudian merampas beg tangan mangsa yang diletakkan di dalam bakul motosikal dan beredar dari tempat kejadian.

Beg tangan terbabit mengandungi telefon bimbit, rantai, gelang, wang tunai kira-kira RM360 dan dokumen peribadi.

Mangsa menganggarkan kerugian yang dialami kira-kira RM979.

Kemudian pada jam 10.45 malam hari yang sama, sepasukan polis sambil ditemani mangsa membuat serbuan di sebuah rumah panjang di Jalan Hulu Lasi, Julau.

Semasa serbuan itu, telefon bimbit milik mangsa ditemui.

Tertuduh hanya ditangkap di persimpangan Jalan Pasi, Sarikei kira-kira jam 8.30 pagi pada 28 Januari lalu.

Siasatan polis mendedahkan bahawa tertuduh melakukan kesalahan rompakan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tidak diwakili mana-mana peguam bela mengaku bersalah dan merayu kepada mahkamah bahawa ini adalah kesalahan pertamanya dan dia hanya memperolehi pendapatan bulanan sebanyak RM300 hingga RM400.

Tertuduh memberitahu, dia telah berkahwin dan mempunyai dua anak tiri berusia tujuh dan 18 tahun.

Dalam jawapannya, Pegawai Pendakwa Inspektor G. Anbarasu menegaskan kesalahan dilakukan tertuduh sangat serius.

“Saya dengan rendah diri memohon mahkamah meluluskan hukuman tersebut sebagai mesej kepada orang ramai bahawa mahkamah tidak bertolak ansur dengan jenayah seperti ini.

“Saya berharap Seksyen 426 (1A) Kanun Prosedur Jenayah dikenakan agar tertuduh membayar pampasan kepada mangsa. Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM880,” katanya.

Advertisement