Anda di sini

Penambahan 60 lagi Kedai Rakyat 1Malaysia disambut baik

Advertisement

KUCHING: Tindakan kerajaan menambah sebanyak 60 lagi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di seluruh negara termasuk di negeri ini disambut baik oleh masyarakat.

Mereka juga gembira apabila mengetahui produk yang dijual di kedai berkenaan juga akan ditambah termasuk bahan basah dan segar yang dapat diperoleh dengan harga berpatutan.

Bagi Maria Simon, 56, penambahan KR1M sememangnya diperlukan oleh rakyat kerana ia dapat meringankan beban rakyat.

“Saya gembira dengan keputusan kerajaan untuk menambah bilangan KR1M di negara ini.

“Bagi saya, tawaran harga di KR1M memang jauh berbeza daripada kedai-kedai biasa dan banyak membantu golongan berpendapatan sederhana.

“Justeru, saya berharap daripada 60 buah kedai tersebut, bilangan KR1M di Sarawak turut ditambah terutama di kawasan luar bandar,” katanya kepada pemberita semalam.

Sementara itu, Morni Gasi, 25, berkata dengan lebih banyak pilihan termasuk bahan basah dan segar yang akan ditambah pastinya ia bakal menarik lebih ramai pengunjung untuk berkunjung ke KR1M.

“Harga ditawarkan di KR1M amat berpatutan dan sangat berbeza daripada kedai-kedai biasa terutama barangan keperluan harian.

“Saya yakin, apabila barangan di KR1M bertambah, pasti ia dapat menarik lebih ramai pembeli untuk berbelanja di situ.

“Di Sarawak, hampir di seluruh bahagian mempunyai KR1M termasuk di Betong, Saratok, Pusa, Sarikei, Sri Aman dan banyak lagi.

“Saya telah memantau beberapa barangan yang ada di  KR1M dan saya mendapati barangan keperluan harganya sangat berpatutan,” katanya yang menyokong tindakan menambah KR1M di negara ini.

Beliau yang berasal dari Betong memberitahu, lokasi KR1M sangat strategik di sana kerana berada di kawasan Bandar Baharu Betong.

“Kedudukan KR1M yang sangat strategik ini bakal memberi kelebihan kepada penduduk sekitarnya untuk membeli keperluan seharian di sini.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan yang banyak membantu meringankan beban rakyat dengan menyediakan kemudahan seperti ini,” katanya.

Bagi Sandi Bakar, 36, penambahan KR1M di sini akan memberi banyak manfaat kepada penduduk.

“Dengan penambahan KR1M dan barangannya, pihak yang mendapat keuntungan ialah rakyat,” katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek baru-baru ini mengumumkan bahawa kerajaan akan membuka 60 lagi KR1M di seluruh negara tahun ini dengan tumpuan kepada Sabah dan Sarawak.

Menurut beliau, penambahan tersebut berikutan sambutan tinggi terhadap KR1M kerana menawarkan harga sehingga 50 peratus lebih rendah daripada harga runcit biasa.

Jelasnya, kementerian itu sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk membuka KR1M di negara ini, terutama Sabah dan Sarawak dan menambah, sehingga kini kerajaan membuka 125 KR1M di seluruh negara dan menawarkan 397 produk berjenama 1Malaysia.

Advertisement