Anda di sini

PBB sedia hadapi PRK jika Taib kosong kerusi Balingian

Advertisement

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Balingian, sekiranya penyandangnya yang juga Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengumum untuk mengosongkan kerusi tersebut.

Setiausaha Agung PBB Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, jentera-jentera parti telah dalam keadaan siap siaga untuk berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) seterusnya dan jika PRK di Balingian diadakan, maka ia akan digunakan lebih awal.

“Jika kita perlu berhadapan dengan Pilihan Raya Kecil, setiap persiapan yang disediakan untuk Pilihan Raya Negeri 2016 akan digunakan (untuk Balingian).

“Kita mengambil serius setiap pilihan raya dan kita lebih bersedia daripada pilihan-pilihan raya sebelum ini,” katanya kepada Utusan Borneo menerusi sistem pesanan ringkas, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persiapan PBB menghadapi PRK di Balingian jika Taib mengosongkan kerusi itu sebelum Jun ini.

Taib, 77, presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada 12 Februari lalu mengumumkan meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang disandangnya lebih tiga dekad, berkuat kuasa 28 Februari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ADUN Balingian, yang dimenanginya pada PRN 2001.

Pada PRN lalu, Taib mengekalkan kemenangan dalam persaingan tiga penjuru menewaskan Datuk Salleh Jafaruddin (Bebas) dan Suariti Abdullah (PKR) dengan majoriti 5,154 undi.

Tempoh Dewan Undangan Negeri Sarawak tamat ialah pada 20 Jun 2016 dan tempoh dua tahun bermula pada 21 Jun 2014.

Ketika ditanya jika PBB mempunyai calon sesuai untuk menggantikan Taib, Dr Rundi yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional Negeri berkata:

“Kami (PBB) mempunyai kumpulan calon berpotensi untuk dipilih,” katanya.

Advertisement