Anda di sini

Langkah agih BR1M 3.0 menerusi akaun bank dipuji

Advertisement

KUCHING: Rata-rata penduduk bandar raya ini memuji langkah kerajaan mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 menerusi akaun bank mulai 22 Februari ini.

Tinjauan Utusan Borneo semalam, mendapati masyarakat terutama penerima menyifatkan kaedah tersebut mesra rakyat dan membuktikan kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan kaedah penyaluran bantuan tersebut untuk kepentingan rakyat.

Bagi Cyslinda Ahmad, 32, langkah tersebut membuktikan kecekapan kerajaan dalam menguruskan bantuan kepada rakyat.

Jelasnya selain mesra rakyat, langkah mengagihkan BR1M menerusi akaun bank juga mampu mempercepatkan pengagihan.

“Saya memuji tindakan kerajaan mengagihkan BR1M 3.0 ini melalui akaun bank kerana ia secara tidak langsung memudahkan penerima terutama warga emas daripada berbaris panjang semasa mengambil bantuan tersebut seperti sebelum ini.

“Selain mempercepatkan proses pengagihan, kaedah ini ternyata menjimatkan banyak kos seperti pengangkutan untuk pergi ke tempat-tempat pengagihan yang kadang-kadang jauh dari kediaman penerima,” katanya kepada pemberita semalam.

Tambahnya, jika sebelum ini penerima juga terpaksa menunggu giliran mengambil wang tunai dalam tempoh terlalu lama hingga menyusahkan, kaedah ini ternyata memudahkan mereka.

“Bagi penerima yang bekerja, mereka juga tidak perlu memohon cuti.

“Malah, kaedah ini juga menitikberatkan soal keselamatan kerana agihan melalui akaun bank juga lebih selamat berbanding secara tunai,” jelasnya.

Sementara itu, Rima Ramli, 30, yang merupakan ibu kepada dua anak, memberitahu bahawa langkah itu pastinya memudahkan golongan ibu bapa sepertinya yang mempunyai anak kecil kerana tidak perlu bersesak mengambil bantuan tersebut.

“Saya sangat menyokong tindakan kerajaan mengagihkan BR1M 3.0 melalui akaun bank kerana kesukaran yang akan kami lalui sekiranya pengagihan tersebut masih seperti sebelum ini.

“Disebabkan saya dan suami bekerja di tempat yang berbeza, pastinya tiada siapa yang jaga anak dan kami terpaksa membawa mereka bersama untuk mengambil bantuan tersebut.

“Oleh itu, saya sangat gembira dengan langkah yang diumumkan oleh kerajaan bagi BR1M 3.0 ini,” jelasnya.

Sementara itu, Elizan Elias, 36, menyifatkan pemberian melalui akaun bank itu dapat memupuk semangat menyimpan.

Jelasnya, apabila wang bantuan diberi secara tunai di tangan kemungkinan untuk membelanjakannya adalah tinggi.

“Sekiranya melalui akaun bank, sama seperti gaji, biasanya separuh sahaja dikeluarkan dan ini melatih rakyat menyimpan,” ujarnya.

Jelas Elizan lagi, pemberian melalui akaun bank juga dapat mengelak daripada penipuan yang dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Melalui akaun bank pastinya pemberian lebih telus dan dapat mengelak daripada penipuan yang mana ada daripada orang tidak bertanggungjawab menyamar sebagai penerima untuk mengambil wang bantuan tersebut,” tambahnya.

Sementara itu bagi tahun 2014, seramai 594,765 penerima BR1M 3.0 di negeri ini akan menerima wang bantuan masing-masing secara serahan terus atau akaun bank secara berperingkat-peringkat dari 23 Februari hingga 15 Mac.

Mereka yang layak menerima BR1M 3.0 akan mendapat notis pemberitahuan daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan orang ramai bolehlah menyemak status permohonan mereka di pejabat-pejabat LHDN terdekat termasuk di Pejabat Residen dan Daerah.

Advertisement