Anda di sini

Kematian ADO lebih menjurus akibat mati lemas, kata polis

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Hasil laporan bedah siasat yang dijalankan berhubung kematian Penolong Kanan Pentadbir Tanah Kuala Terengganu, Wan Hariff Rafany Wan Muda didapati tidak menunjukkan unsur jenayah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata setakat ini mangsa dipercayai mati akibat lemas, namun pihaknya masih menunggu laporan toksikologi bagi mengetahui punca sebenar kematian mangsa.

Beliau berkata laporan bedah siasat yang selesai diadakan pada jam 6 petang kelmarin tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada badan mangsa.

“Siasat awal yang dijalankan ke atas mangsa lebih menjurus ke arah mati lemas dan kita juga tidak menemui sebarang kesan kecederaan pada mangsa,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Menurut beliau, pihaknya telah menubuhkan pasukan khas bagi melakukan siasatan menyeluruh berhubung kematian mangsa.

Mayat Wan Hariff Rafany, 35, ditemui terapung di Sungai Kampung Tajin, Kuala Berang, Hulu Terengganu kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin oleh tiga remaja yang sedang memancing.

Mangsa yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu ditemui masih lengkap berpakaian kemeja T berwarna oren serta berseluar trek yang pihak polis turut menemui kunci kereta di dalam poket seluar mangsa.

Manoharan berkata pihaknya juga telah merakam percakapan anggota keluarga, rakan sekerja serta individu yang mengetahui pergerakan mangsa bagi membantu siasatan.

Beliau berkata setakat ini pihak polis mengklasifikasi kes sebagai kematian mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.

“Siasatan menyeluruh dari semua aspek sedang giat dijalankan dan sebaik siasatan selesai, kita akan merujuk kes ini kepada timbalan pendakwa raya,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang menerima laporan berhubung kes berkenaan melalui laman sosial, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan whatsapp agar tidak menyimpan dan mengedarkannya. — Bernama

Advertisement