Anda di sini

Kanowit berpotensi pusat terpenting wilayah tengah

Advertisement

KANOWIT: Kanowit berpotensi menjadi antara pusat terpenting di wilayah tengah setelah projek Jalan Kapit-Song-Kanowit siap kelak.

Menteri Muda Pelancongan (Acara dan Produk) Datuk Gramong Juna berkata, ini pasti akan merancakkan aktiviti-aktiviti ekonomi di pekan Kanowit.

“Ia juga pasti akan membuka peluang-peluang ekonomi kepada penduduk setempat dengan adanya jalan raya dari Kapit dan Song.

“Pekan Kanowit pasti sibuk kerana bakal menjadi laluan utama orang ramai dari Kapit dan Song setelah projek jalan raya siap.

“Orang ramai pasti menjadikan Kanowit sebagai tempat persinggahan.

“Justeru, penduduk di sini harus merebut peluang ini dan Kanowit bakal menjadi kawasan terpenting serta memperolehi impak tinggi projek tersebut,” katanya pada Majlis Jamuan Tengah Hari sempena Sambutan Chap Goh Mei di sini.

Sekitar 200 orang menghadiri majlis tersebut yang dianjurkan oleh Persatuan Cina Pekan Kanowit.

Hadir sama isterinya, Datin Catherine Gramong, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang, Setiausaha Politik Ketua Menteri Maurice Giri, Pegawai Jabatan Penerangan Daerah Kanowit Wan Mohd Zuki Wan Ismail, Pengerusi Persatuan Cina Pekan Kanowit Kapitan Kong Nyuk Khee serta ketua-ketua masyarakat dan kapitan Cina sekitar Kanowit.

Gramong memberitahu, banyak impak diperolehi rakyat yang berdekatan sekiranya projek jalan raya Kapit-Song siap kerana ia bakal melibatkan banyak pembangunan yang akan dilaksanakan di sepanjang jalan tersebut.

“Itulah nikmat pembangunan. Kanowit dan kawasan sekitarnya bakal berkembang pesat kerana kita dapat berhubung dengan Kapit dan Song. Banyak manfaatnya daripada projek itu.

“Apa yang penting, sokongan semua rakyat di sini diperlukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan pelbagai pembangunan yang dirancang bagi manfaat rakyat,” katanya.

Gramong yang juga Menteri Muda Kemajuan Tanah mengingatkan penduduk Kanowit agar menerapkan semangat perpaduan dan harmoni bagi mengukuhkan silaturahim.

Jelasnya, tanpa adanya hubungan erat pasti akan menyukarkan pelbagai proses pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan di situ.

“Masyarakat di sini beruntung dan bernasib baik kerana dapat hidup aman dan harmoni di negara ini tanpa pergaduhan serius melibatkan kaum.

“Justeru, jangan ambil ringan isu perpaduan kaum,” tegasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan itu menjelaskan bahawa amalan tradisi kunjungan sempena rumah terbuka ketika perayaan merupakan amalan murni rakyat Malaysia dan wajar diteruskan pada masa akan datang tidak mengira kaum dan agama.

“Nilai persahabatan antara kaum lebih daripada wang ringgit.

“Kita mahu jaga hubungan ini kerana ia memainkan peranan penting dalam pembangunan di negara ini,” katanya.

Menyentuh mengenai persaraan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada hujung bulan ini, Gramong berkata: “Banyak pembangunan dan kemajuan yang telah dibawa Taib sejak 33 tahun memimpin negeri ini.

“Beliau telah memimpin Sarawak dengan jayanya dan saya berharap penggantinya, Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem akan meneruskan perjuangan beliau,” tambahnya.

Advertisement