Anda di sini

Kaliman Timber sumbang 80 kotak mi segera kepada Hope Place

Advertisement

KUCHING: Kaliman Timber Corporation Sdn Bhd (Kaliman Timber) telah menyumbang 80 kotak mi segera kepada Persatuan Kebajikan Harapan Kuching (Hope Place).

Hope Place merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuh untuk menolong keluarga yang serba kekurangan.

Pertubuhan kebajikan tersebut beroperasi melalui bantuan sukarelawan dan sumbangan daripada orang awam dan setakat ini terdapat 80 keluarga yang mendapat manfaat melalui bantuan Hope Place.

Bagi meningkatkan kesedaran awam, Kaliman Timber telah menderma dari segi makanan sebagai tanda sokongan terhadap pertubuhan kebajikan tersebut.

Melalui tindakan itu, mereka berharap untuk menarik perhatian orang awam bagi menyumbang dalam pelbagai sudut untuk membantu mereka yang serba kekurangan dalam masyarakat.

Sasaran bantuan Hope Place dibahagi kepada empat kategori utama iaitu orang kurang upaya (OKU), warga emas yang ditinggal keluarga, ibu tunggal berpendapatan kurang daripada RM500 dan keluarga berpendapatan rendah purata tidak melebihi RM250.

Menurut pengasas Hope Place, Kelvin Wan lawatan ke rumah pemohon amat perlu selepas mereka menerima panggilan bagi menilai masalah yang dihadapi mereka.

Selepas lawatan, sukarelawan akan berbincang mengenai keputusan penilaian muktamad dalam masa dua minggu.

Ahli-ahli persatuan akan melawat pemohon bantuan yang diluluskan sekali setiap dua minggu.

Orang awam yang berminat untuk memberi sumbangan, sila hubungi Wan di talian 013-567 2775 untuk maklumat lanjut.

Advertisement