Anda di sini

Guru S’wak kurang masalah psikologi

Advertisement

 

SOKONGAN: Fatimah menampal pelekat Jelajah Psikososial Sarawak JP4 pada sebuah kenderaan sambil diperhatikan Abdillah dan Dr Ruziati. — Gambar Jeffery Mostapa

Bilangan alami masalah ini mungkin tidak sampai 0.1 peratus daripada 42,000 guru

KUCHING: Bilangan guru di Sarawak yang mengalami masalah psikologi amat sedikit, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Beliau berkata, terdapat 42,000 guru mengajar di negeri ini dan bilangan yang mengalami masalah tersebut mungkin tidak sampai 0.1 peratus.

Bagaimanapun menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri sentiasa membantu guru-guru yang mengalami masalah berkenaan terutama dari segi khidmat kaunseling.

“Tidak ramai guru yang mengalami masalah psikologi di negeri ini. Ada yang mengalami masalah ini namun bilangannya agak kecil.

“Mereka ini tidak akan dibiarkan dan akan dibantu terutama dari segi khidmat kaunseling,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Jelajah Psikososial Sarawak JP4 di sini, semalam.

Beliau tidak menolak kemungkinan guru yang mengalami masalah psikologi disebabkan cabaran bertugas terutama di luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan asas sempurna.

“Keperluan guru sebenarnya tidak diberi tumpuan sewajarnya.

“Ini kerana ada kalangan mereka berdepan cabaran tempat bertugas sekali gus mungkin menyebabkan mereka mengalami masalah psikologi,” ujarnya.

Malah menurut Fatimah, program pendidikan yang sentiasa berubah juga mungkin mendorong timbulnya masalah psikologi di kalangan mereka.

“Saya rasa program ini (jelajah psikososial) amat bagus, sekurang-kurangnya mereka berasa diberi perhatian sewajarnya,” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian (Bahagian Psikologi dan Kaunseling) Kementerian Pendidikan Dr Ruziati Mior Ahamad Ariffin berkata, program itu diadakan untuk mengkaji masalah yang dialami guru.

“Kita mahu kenal pasti apa sebab guru alami masalah psikologi sama ada disebabkan pelajar nakal atau faktor lain,” kata Dr Ruziati.

Selain Kuching, Jelajah Psikososial Sarawak JP4 turut diadakan di Sibu dan Miri.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Datu Abdillah Adam.

Advertisement